SIMANGGANG: Program Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan yang dijadualkan berlangsung bulan depan bakal menjadi platform bagi memperkukuh hubungan dan interaksi secara langsung antara masyarakat dengan kerajaan.
Persiapan bagi menjayakan program tersebut dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Program Jangkauan Setiausaha Politik Premier Sarawak Peringkat DUN Bukit Begunan yang diadakan hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Mong Dagang, dengan tumpuan diberikan kepada penyelarasan jawatankuasa serta pengisian program bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Dalam mesyuarat berkenaan, Jawatankuasa Induk Program Jangkauan Setiausaha Politik Premier Sarawak turut dilantik bagi mengurus serta menyelaras persiapan program di peringkat DUN Bukit Begunan.
Antara pengisian utama yang dirancang ialah sesi soal jawab antara penduduk dengan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak serta agensi kerajaan yang berkaitan.
Sesi berkenaan akan memberi peluang kepada penduduk menyampaikan isu, pertanyaan dan keperluan setempat secara terus, selain mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.
Program itu turut menampilkan pameran agensi kerajaan serta pembukaan kaunter perkhidmatan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara terus tanpa perlu melalui saluran berasingan.
Kira-kira 500 penduduk dari kawasan DUN Bukit Begunan disasarkan menyertai program berkenaan, sekali gus menjadi wadah penting untuk mendapatkan maklum balas serta memahami keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
Mesyuarat itu turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara kepimpinan kawasan, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat bagi memastikan pelaksanaan program mencapai objektif yang ditetapkan.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany, Abang Abdul Aziz, Pandang Semat, John Nyigor dan Roseline Neging, selain wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Lingga dan Pantu serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Bukit Begunan.
Oleh Adi Safarman





