SIMANGGANG: Program kemahiran berbentuk ‘Do It Yourself’ (DIY) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Aman dilihat mampu menjadi platform berkesan dalam memperkasakan masyarakat menerusi ilmu, kreativiti dan kemahiran praktikal.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, usaha KEMAS Sri Aman yang sentiasa aktif turun padang menganjurkan pelbagai program bermanfaat wajar diberikan penghargaan.
Menurut beliau, program sedemikian bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat mempelajari kemahiran baharu, malah dapat meningkatkan keyakinan diri serta membuka peluang untuk peserta mengembangkan potensi masing-masing.
“Program DIY merupakan satu inisiatif yang amat praktikal kerana memberikan peserta kemahiran baharu yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus ‘Do It Yourself’ (DIY) anjuran KEMAS Sri Aman di Rumah Connie Jepin, Kampung Panggau, Batu Besai, semalam.
Doris menjelaskan, kemahiran yang diperoleh menerusi kursus tersebut juga berpotensi dikembangkan sebagai aktiviti ekonomi kecil-kecilan sekali gus membantu peserta menjana pendapatan sampingan.

Katanya, kreativiti yang dipupuk melalui program DIY boleh menjadi satu aset penting kepada masyarakat sekiranya dimanfaatkan secara berterusan dan dikembangkan mengikut keperluan serta permintaan semasa.
Beliau menegaskan, usaha memperkasakan masyarakat tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemberian bantuan, sebaliknya perlu disertai dengan penyampaian ilmu, kemahiran dan peluang yang membolehkan rakyat berdikari.
“Apabila masyarakat dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran, mereka mempunyai keupayaan untuk meningkatkan taraf kehidupan serta membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Doris turut menggesa masyarakat supaya terus mengekalkan semangat perpaduan dan bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan di kawasan Sri Aman.
Beliau turut mengingatkan semua yang hadir agar terus bersatu padu dan teguh berdiri bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan agenda kemajuan serta pembangunan di Sri Aman khasnya dan Sarawak amnya dapat diteruskan.
Doris berharap program seumpama itu dapat diperluaskan ke lebih banyak komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, sebagai usaha berterusan melahirkan masyarakat yang berkemahiran, berdikari, kreatif dan berdaya saing.
Oleh Adi Safarman




