Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Program biasiswa perkukuh tenaga kerja industri elektrik negara
  • TEMPATAN

Program biasiswa perkukuh tenaga kerja industri elektrik negara

Utusan Sarawak 6 hours ago
RAKAMAN gambar kenangan bersama peserta program di Sarawak Skills Kuching sebagai sebahagian daripada aktiviti latihan.

KUCHING: Program Biasiswa Kemahiran Industri Tenaga GE Vernova – Juruelektrik Penjaga Jentera Voltan Rendah (L1) kini dilaksanakan di Institut Latihan Industri Elektrik Sarawak (SEITI), Tabuan Laru yang merupakan anak syarikat Sarawak Skills.

Menurut kenyataan Sarawak Skills, program tersebut merupakan inisiatif bersama Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) dan Yayasan GE Vernova, dengan Sarawak Skills dilantik sebagai pelaksana di bawah rangkaian FMSDC.

Seramai 42 peserta menyertai program selama enam bulan itu yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan 1 bermula 14 Februari hingga 12 Julai 2026, manakala Kumpulan 2 dari 28 Februari hingga 19 Julai 2026.

Inisiatif biasiswa itu memberi tumpuan kepada latihan berstruktur meliputi penyelenggaraan sistem elektrik, penyelesaian masalah serta pematuhan kepada piawaian peraturan di fasiliti industri dan komersial.

Program tersebut bertujuan menangani jurang kemahiran dalam pemasangan elektrik voltan rendah, penyelenggaraan pencegahan dan amalan keselamatan, selain meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja serta menyokong pertumbuhan sektor perkhidmatan elektrik negara.

Selain itu, kurikulum berasaskan kompetensi yang diguna pakai adalah selaras dengan piawaian industri dan memberi penekanan kepada latihan praktikal berkualiti tinggi, di samping memperkukuh kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan peluang pembelajaran berasaskan kerja kepada peserta.

SESI teori dijalankan di SEITI.

Pengarah Eksekutif Sarawak Skills yang juga Pengerusi FMSDC, Hallman Sabri berkata, program seumpama itu penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan.

“Program ini mencerminkan komitmen kami dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten serta memenuhi piawaian industri dan keperluan peraturan.

“Peserta turut dilengkapi dengan pengetahuan teori dan pengalaman praktikal bagi menyumbang secara efektif dalam sektor elektrik dan tenaga yang semakin berkembang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dalam menjayakan latihan berimpak tinggi.

“Kerjasama kukuh antara FMSDC dan Yayasan GE Vernova membuktikan bagaimana kolaborasi strategik mampu menangani keperluan industri serta mewujudkan lebih banyak peluang pembangunan kemahiran,” tambahnya.

Peserta program terdiri daripada juruteknik dan kakitangan penyelenggaraan yang mempunyai lebih tiga tahun pengalaman dalam bidang elektrik, khususnya dari Sarawak, selain individu daripada golongan kurang berkemampuan.

Sepanjang tempoh latihan, peserta didedahkan dengan pengetahuan menyeluruh serta latihan praktikal dalam sistem elektrik voltan rendah termasuk pemasangan, penyelenggaraan, penyelesaian masalah dan pematuhan aspek keselamatan.

Program Biasiswa Kemahiran Industri Tenaga GE Vernova ini terus mencerminkan komitmen bersama antara institusi latihan dan rakan industri dalam melahirkan tenaga kerja mahir serta bersedia industri bagi memacu kemajuan sektor elektrik dan tenaga boleh diperbaharui negara.

Continue Reading

Previous: Sarawak jadi platform global bincang kerahsiaan data, kepercayaan digital
Next: Mangsa rugi RM23,500, bank enggan dedah status transaksi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.