Program Anak Kita berkesan, atasi sasaran awal – Fadhlina

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) 2024 di Majlis Peperiksaan Malaysia baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Program Anak Kita menunjukkan keberkesanan apabila pelaksanaan Program Pecutan SPM 2024 berjaya mengatasi sasaran awal yang ditetapkan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang dibentangkan pasukan Yayasan Hasanah dan Unit Pantau MADANI semalam, program intervensi Membaca, Menulis dan Mengira (3M) turut mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan.

Justeru, beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan keberkesanan program tersebut selepas hampir setahun pelaksanaannya.

“Tahun lalu, Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan meluncurkan Program Anak Kita bertujuan menangani isu keciciran pembelajaran, meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi serta membantu murid dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Setelah hampir setahun penganjuran, pelbagai program intervensi berjaya dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Hasanah, Unit Pantau MADANI, universiti awam, syarikat korporat dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata Program Anak Kita dipantau secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan dan keberkesanan impak.

Beliau turut berharap jangkauan Program Anak Kita dapat terus diperluaskan agar memberi manfaat kepada lebih ramai murid di seluruh negara.– Bernama