LAWAS: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Parlimen Lawas kini bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang bakal diadakan bila-bila masa.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Dato Henry Sum Agong yang dihubungi menjelaskan bahawa Parti PBB dan GPS di Parlimen Lawas sememangnya telah siap sedia untuk berhadapan dengan pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum(PRU) atau PRN dalam masa terdekat ini.
“Semua jentera telah lama bersedia dan kami hanya menunggu arahan atau pengumuman dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahupun pemimpin tertinggi Sarawak iaitu Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg.
“Kita di Lawas ini mempunyai hubungan dan sejarah yang amat rapat dengan rakyat kerana kita sentiasa bersama saat susah mahupun senang,”‘ujarnya.
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas menjelaskan bahawa rakyat di Lawas hanya menunggu masa untuk membalas segala jasa dan usaha Kerajaan Sarawak di bawah GPS dan Parti PBB bagi meneruskan mandat untuk memerintah.
“Senario politik dalam norma baharu ini jelas memperlihatkan ada pihak yang sepanjang masa berpolitik untuk mendapat kuasa walaupun menyedari sepanjang arahan Peritah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, rakyat hidup dalam kesukaran dan memerlukan bantuan.
“Namun golongan yang ingin berkuasa hanya melihat kepada diri sendiri tanpa menoleh sedikitkan kesusahan rakyat.
“Ini berbeza dengan kerajaan memerintah iaitu GPS di Sarawak yang telah mengumumkan berbagai inisiatif untuk membantu rakyat,” tegas beliau.
Malah, katanya lagi di peringkat kerajaan pusat yang diterajui Kerajaan Perikatan Nasional juga sepanjang masa dan setiap hari bersama rakyat dalam berbagai medium bagi memberi penerangan dan bantuan.
“Kebajikan dan tahap memperdulikan rakyat sentiasa diutamakan iaitu sejajar dengan perjuangan GPS dan Parti PBB yang mengutamakan Sarawak dan rakyat Sarawak,” tambahnya.
Justeru, Henry Sum berharap rakyat dapat menilai apa yang diperolehi daripada kerajaan terdahulu sebelum diambil alih oleh PN yang jauh memperjuangkan nasib rakyat.
“Rakyat kini juga telah matang dan tahu siapa yang menipu mereka dengan janji manis dan siapa yang mampu membela mereka disaat seluruh dunia diancam pandemik Covid-19,” ujarnya.
Oleh Adeng Edrus