SHAH ALAM: Atlet taekwondo Sarawak, Pretty Amisha Amanda Francesca melengkapkan hari gemilang skuad Bumi Kenyalang apabila menghadiahkan pingat emas ketiga kontinjen Sarawak menerusi acara kyorugi wanita lebih 73 kilogram (+73kg) pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.
Pretty tampil cemerlang dalam laluan menuju ke podium tertinggi apabila menewaskan wakil Perak, Tan Xin Yu, pada peringkat suku akhir sebelum meneruskan momentum pada separuh akhir dengan menundukkan wakil Perlis, Auni Maisarah Mohd Musri, kedua-duanya menerusi kemenangan 2-0.
Dalam aksi final di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, atlet Sarawak berkenaan sekali lagi menampilkan aksi kemas untuk menewaskan wakil Kedah, Nur Aliya Ellisiya Husyaimy, 2-0 bagi memastikan emas berada dalam genggamannya.
Kejayaan itu menyaksikan Pretty melalui tiga perlawanan terakhirnya dengan keputusan sempurna 2-0, sekali gus membuktikan konsistensi dan ketenangan atlet Sarawak itu dalam menghadapi setiap lawan sebelum dinobatkan sebagai juara.


Lebih manis, emas Pretty turut melengkapkan hatrik emas skuad taekwondo Sarawak pada hari ini selepas Allexandre Axcell Juntan terlebih dahulu menghadiahkan emas pertama menerusi acara kyorugi lelaki bawah 63kg sebelum Mohamad Zulhafiz Zulhadi menambah emas kedua dalam kategori lelaki bawah 87kg semalam.
Allexandre menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Thiban Raj Nagalingam, 2-1 pada aksi final, manakala Zulhafiz pula menundukkan wakil sama, Ng Kar Weng, 2-0 dalam aksi final kategori bawah 87kg.
Tiga emas yang diraih menerusi acara kyorugi itu menjadikan taekwondo antara penyumbang terbesar kepada kutipan emas Sarawak setakat ini, sekali gus memberikan suntikan besar kepada kontinjen Bumi Kenyalang dalam pemburuan pingat pada Sukma kali ini.
Setakat berita ini ditulis, ada lagi dua wakil Taekwando Sarawak mara ke final,iaitu Joseph Wong Shou Ho dan AJ Ong Yang Yi sekali gus memberi harapan untuk menambah koleksi emas kontijen Bumi Kenyalang.
Oleh Shahrul Qaizat





