
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh melepaskan peserta safari memancing Tanjung Manis bagi kategori laut dalam bertempat di Terminal Ekspress Tanjung Manis, semalam. Foto Facebook Datuk Len Talif Salleh
TANJUNG MANIS: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka turun padang ke kawasan projek tukun tiruan bernilai RM70 juta di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, tujuan lawatan adalah untuk melihat sendiri dan menilai keberkesanan pelaksanaan projek tukun tiruan sebelum merasmikan majlis penangguhan safari memancing Tanjung Manis 2025.
“Premier Sarawak juga akan meninjau pelaksanaan dari segi tukun tiruan yang telah kita labuhkan beberapa tahun yang lepas.
“Di situlah beliau akan melihat kesan tukun tiruan kepada kehidupan marin yang kita labuhkan dari Tanjung Datu sampai ke Lawas.
“Dari segi laporan yang diberikan oleh pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) adalah memberansangkan….tetapi beliau hendak melihat adakah laporan ini betul,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pelepasan safari memancing Tanjung Manis 2025 bagi kategori laut dalam di sini, semalam.
Beliau berkata setakat ini, SFC telah menurunkan 600 unit tukun tiruan di perairan Belawai, Paloh dan Lawas.
“Sebanyak 1,200 unit lagi ditempatkan di perairan Igan, Mukah, selain kawasan Muara Tebas hingga Sebuyau.
“Projek ini bukan sahaja berperanan memperkayakan sumber marin, malah turut membantu meningkatkan pendapatan komuniti nelayan setempat serta melindungi kawasan perikanan.
“Ia turut menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar marin dan menjadikan kawasan perairan Sarawak sebagai habitat selamat untuk pelbagai spesies ikan dan hidupan laut lain,” katanya.
Sementara itu, seramai 29 peserta telah mengambil bahagian dalam safari memancing bagi kategori laut dalam.
Tiga kategori dipertandingkan bagi edisi ke-18 sempena Jubli Emas Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) iaitu kategori laut dalam, pesisiran pantai dan tebingan sungai.
Bagi kategori pesisiran pantai dan tebingan sungai, ia dijangka bermula hari ini.
Safari memancing ini merupakan anjuran PUSAKA Tanjung Manis.
Oleh Earl Anek