GEDONG: Pembinaan kemudahan infrastruktur di kawasan Gedong, Samarahan dan Simunjan akan membantu mempercepatkan pembangunan in situ di kawasan yang bakal dibangunkan pertanian komersial itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak akan membina jalan bagi menghubungkan Serian dengan Gedong selain membangunkan kawasan komersial di situ.
“Jalan baharu yang menghubungkan Serian dan Gedong sepanjang 19 Kilometer iaitu jalan raya berkembar.
“Jalan raya dari Gedong ke Samarahan iaitu sepanjang 74 kilometer yang akan menghubungkan Gedong-Samarahan-Serian dan jalannya mempunyai empat laluan serta laluan untuk Transit Aliran Autonomi (ART).
“Ini bermakna jalan ART ke Serian akan menghubungi Gedong hingga ke Samarahan dan terus ke Rembus di mana kita ada depo ART,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke Daerah Gedong di tapak projek di Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan tapak projek Mini Genting Gedong di sini hari ini.
Abang Johari berkata, jalan itu dijangka akan dibangunkan dalam masa 48 bulan iaitu mengambil masa empat tahun akan datang.
Katanya, keseluruhan kawasan yang akan dibangunkan ini merupakan kawasan pertanian.
Kerajaan Sarawak katanya, melaksanakan sistem parit dan tali air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di kawasan tersebut.
“Ia akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan kita akan memberi peruntukan untuk RISDA membangunkannya,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Hulu Simunjan akan dihubungkan dengan Gedong melalui jalan Gedong-Samaradong yang akan mula dilaksanakan dalam masa tiga bulan akan datang dan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.
“Sudah tentu pembangunan infrastruktur ini akan memberikan kemudahan bagi kita membangunkan kawasan kebun-kebun sebagai kawasan pertanian yang moden menggunakan agrikultur pintar,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Keterangan gambar
TINJAU… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan tinjauan tapak projek di di Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan tapak projek Mini Genting Gedong, hari ini.