JASIN: Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd (PPMSB) mencatatkan peningkatan pengeluaran sawit sehingga 40 peratus kepada 7,469 tan pada April hingga Julai tahun ini walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, berdasarkan prestasi positif itu kerajaan negeri yakin PPMSB mampu mencapai sasaran pengeluaran sawit sebanyak 16,050 tan menjelang akhir 2020.
Beliau berkata walaupun mengalami kekangan termasuk masalah kekurangan pekerja ladang terutama penuai, namun PPSMB optimis dengan sasaran itu berdasarkan graf kenaikan drastik pencapaian PPMSB berbanding peningkatan hanya dua peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2020.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini pengeluaran sawit hanya mencatatkan 4,021 tan berbanding sasaram 4,095 tan metrik.
“Namun bagi tempoh April hingga Julai, pengeluaran merekodkan 7,469 tan sekali gus berjaya mencapai sasaran 5,350 tan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bulan Kebangsaan peringkat PPMSB di sini, hari ini.
Norhizam berkata jumlah pengeluaran adalah antara 20 hingga 30 tan sehari bagi tempoh sebelum April namun dapat ditingkatkan kepada 70 tan sehari memandangkan jumlah waktu kerja selama lapan jam sehari berbanding lima jam sehari sebelum itu.
Beliau berkata pihak PPMSB sedang berusaha mencari tenaga kerja baharu dalam kalangan penduduk tempatan bagi mengatasi kekurangan pekerja.
Pada masa ini, terdapat 21 pekerja asing terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh yang menjalankan kerja penuaian kelapa sawit, katanya.
Secara keseluruhannya, PPMSB mempunyai ladang tanaman kelapa sawit seluas 1,138 hektar yang menjalankan aktiviti perladangan, pembekal anak pokok sawit serta membeli hasil sawit daripada pekebun kecil di Melaka.- Bernama