SELEPAS kejayaan menempatkan diri ke pentas Liga Super 2022, Sarawak United FC kini mahu mengidamkan kejuaraan Liga Premier pada musim ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menjelaskan biarpun impian ke Liga Super pada musim hadapan sudah berada dalam genggaman, namun beliau menyedari perjuangan tersebut belum selesai dan Sarawak United harus memenangi ketiga-tiga baki perlawanan untuk bergelar juara.
“Harapan kepada seluruh keluarga dan peminat-peminat Sarawak United bukan sahaja layak ke Liga Super tahun hadapan, harapan kita ialah agar pasukan kita dapat menjuarai Liga Premier sedikit masa lagi..Insyaallah,” katanya dalam satu kenyataannya semalam.
Posa yang juga Pengerusi Sarawak United FC berkata sebagai pasukan yang pernah berentap di dalam saingan Liga Super dan pernah kecundang, beliau percaya pasukan kendalian E Elavarasan kini berada di landasan tepat untuk bangkit serta mengembalikan zaman kegemilangan sukan bola sepak Sarawak selepas ini.
“Sarawak United kini bangkit kembali daripada ‘zaman kegelapan’ dengan semangat baharu iaitu pasukan Kenyalang Emas Sarawak.
“Dan kami ingin menjadi pasukan yang komited dan konsisten dalam menerajui arena sukan bola sepak tempatan,” ujarnya.
Musim lepas, Sarawak United FC hanya mampu meraih kedudukan ke-10 Liga Premier setelah proses penjenamaan semula dilakukan pada awal tahun lalu.
Kali terakhir pasukan yang dikenali dengan nama Sarawak FA beraksi di pentas Liga Super adalah pada musim 2017 dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-11 liga.
Dalam perkembangan lain, ketua jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan menegaskan, barisan pemain belum boleh mendabik dada dengan meraikan kejayaan layak ke Liga Super 2022 kerana perlu menyasarkan kejuaraan Liga Premier pada musim ini.
Namun, Elavarasan tetap mahu anak-anak buahnya mengambil serius baki tiga aksi Liga Premier musim ini bagi memastikan trofi liga divisyen kedua bola sepak negara menjadi milik Sarawak musim ini.
Sebagai rekod, skuad The Golden Hornbill telah mengesahkan slot ke Liga Super musim depan susulan kekalahan Kuching City FC kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 1-2, Rabu lalu.
Oleh ADI SAFARMAN