
SERIAN: Sebuah pondok tempat memasak di Kampung Riih Mawang di sini mengalami kerosakan sekitar 10 peratus dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.50 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah pondok memasak jenis struktur tidak kekal berukuran sekitar 66 x 3.05 meter. Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Pasukan Keluaran Operasi yang diketuai PBK I Rosnani Malong bertindak menggunakan satu aliran sepanjang 61 meter dengan satu nozel serta sumber air daripada jentera bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.
Operasi tamat setelah keadaan disahkan selamat dan pasukan bomba bertolak balik ke balai. Seramai lapan anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS.
Oleh Shikin Mahmud