
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUTS) terus memperkukuh integriti serta sistem penyampaian perkhidmatannya dengan melancarkan Dasar Kualiti Kementerian, sebagai langkah strategik bagi memastikan kecemerlangan tadbir urus dan perkhidmatan kepada rakyat.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata usaha ini selaras dengan penyertaan MUTS dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 serta Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS), yang bertujuan memartabatkan budaya kerja berintegriti dalam kalangan kakitangan.
“Penyertaan MUTS dalam AKPANS dan AIGA adalah satu langkah penting untuk menyokong dasar tadbir urus yang efisien serta memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat.
“Dengan adanya Polisi Kualiti Kementerian, kita akan lebih tersusun dalam mencapai kecemerlangan operasi di semua peringkat,” katanya ketika berucap pada majlis Pengagihan Bubur Pedas dan Penyerahan Sumbangan Perayaan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KESURIA) MUTS di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Tetap MUTS, Datu Jafri Lias memaklumkan bahawa Dasar Kualiti Kementerian ini akan menjadi garis panduan utama kepada semua bahagian dan jabatan dalam kementerian bagi memastikan standard perkhidmatan yang lebih tinggi kepada rakyat.
Pada majlis sama, Julaihi turut mengagihkan bubur pedas kepada warga kerja MUTS serta menyerahkan sumbangan perayaan bagi semua perayaan utama di Sarawak, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, dan Hari Gawai Dayak.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Setiausaha Tetap MUTS Syed Mohamad Fauzi Shahab serta tetamu kehormat lain.