

LUBOK ANTU: Polis berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan migran serta menahan seorang remaja terlibat dadah dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilancarkan di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, operasi tersebut berjaya membawa kepada penahanan lima lelaki dan seorang perempuan menerusi beberapa tindakan berasingan yang dijalankan pasukan polis di kawasan Engkilili dan Lubok Antu.
Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu melibatkan dua lelaki tempatan, dua lelaki dan seorang perempuan warga asing berusia antara 24 hingga 29 tahun di kawasan Engkilili.
Katanya, kesemua suspek diperiksa ketika berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan, dipercayai cuba mengelakkan sekatan jalan raya polis yang sedang dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan terbabit dipercayai bertindak sebagai tekong darat bagi aktiviti penyeludupan migran, manakala warga asing yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda beserta kunci dan dua telefon bimbit milik dua suspek lelaki tempatan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun turut ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lubok Antu di kawasan simpang Lubok Antu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, operasi bersepadu berkenaan turut menyaksikan sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala seramai 152 individu serta 130 kenderaan diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Inspektor Harper Kenol itu melibatkan kekuatan 22 anggota pelbagai pangkat daripada beberapa cawangan dengan objektif membanteras jenayah, meningkatkan kehadiran polis, melaksanakan pemeriksaan pemeriksaan dan semakan segera serta mengurangkan kesalahan lalu lintas di kawasan tumpuan jenayah.
DSP Pricha Azin menegaskan IPD Lubok Antu akan terus komited memperkukuh penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat di daerah itu sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman