

MIRI: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Khas Ops Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Miri di Jalan Miri-Airport, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua suspek berusia antara 22 hingga 23 tahun itu ditahan selepas ujian pernafasan menggunakan alat saringan pernafasan alkohol (SD2) mendapati mereka mempunyai kandungan alkohol dalam badan ketika menunggang motosikal.
Menurutnya, sampel darah kedua-dua suspek turut diambil di Hospital Miri bagi tujuan siasatan lanjut.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah Miri hari ini.
Dalam operasi bermula pukul 11.00 malam hingga 2.00 pagi itu, seramai 96 individu terdiri daripada 72 lelaki dan 24 perempuan diperiksa melibatkan 83 kenderaan.
Katanya, sebanyak 20 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh serta gagal mempamerkan stiker ‘P’ pada kenderaan.
Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan terhadap kesalahan lalu lintas serta pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh minuman beralkohol sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Oleh Liong Chai Lin