KUCHING, 9 Oktober: Polis Sarawak merampas 32.73 kilogram pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta dan menahan dua lelaki tempatan dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 28 September lalu.
Rampasan itu dipercayai berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Ogos.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 39 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.
“Rampasan melibatkan 32,730 gram pil Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta. Jumlah dadah itu berpotensi membekalkan dadah kepada 163,650 pengguna,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari Johor Bahru sebelum membawanya ke Kuching menggunakan penerbangan untuk diedarkan di sekitar bandar raya ini.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 25 tahun positif methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine, manakala suspek berusia 39 tahun didapati negatif dadah.
Semakan rekod jenayah mendapati suspek berusia 25 tahun mempunyai tiga rekod lampau, termasuk satu kesalahan berkaitan dadah dan dua kesalahan jenayah lain. Suspek berusia 39 tahun pula mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Kedua-dua suspek direman selama enam hari dari 30 September hingga 5 Oktober sebelum tempoh reman dilanjutkan selama dua hari lagi, dari 6 hingga 7 Oktober.
Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada 7 Oktober mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, mereka juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Saifullizan berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan JSJN dalam membanteras sindiket pengedaran dadah menerusi tindakan penguatkuasaan yang tegas, berfokus dan berimpak tinggi.
“JSJN akan terus mempergiat operasi bagi mengesan, menumpaskan dan melumpuhkan rangkaian sindiket pengedaran dadah di setiap peringkat. Dadah merupakan ancaman besar kepada negara dan kami komited melindungi generasi masa kini serta akan datang,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222.




