SIMANGGANG: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Sungai Batang Strap, Pantu pada Selasa lalu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilaksanakan sejak kejadian itu dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, mayat mangsa, Taufik Ezaini Abdullah, 15, ditemukan terapung di tengah Sungai Batang Strap kira-kira 12.30 tengah malam tadi, sekitar 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dipercayai menyelam untuk melepaskan jala yang tersangkut sebelum gagal muncul semula ke permukaan air.
Menurut beliau, mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung yang turut membantu operasi SAR sebelum dibawa ke Pangkalan Pantu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sri Aman II untuk bedah siasat selepas proses pengecaman oleh ahli keluarga selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan hilang pada Selasa lalu ketika menjala ikan bersama bapa saudaranya di kawasan Lubok Bandam, Sungai Batang Strap, Pantu.
“Saksi turut memaklumkan melihat seekor buaya mengheret mangsa dan cuba memberikan bantuan, namun usaha menyelamatkan mangsa tidak berjaya,” katanya.
Dennis berkata, susulan penemuan mayat mangsa, operasi SAR yang membabitkan pelbagai agensi penyelamat secara rasmi ditamatkan pada 1.30 pagi tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat serta penduduk kampung yang membantu sepanjang operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan.
Oleh Adi Safarman




