Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Polis Johor rampas dadah bernilai hampir RM9 juta
  • JENAYAH

Polis Johor rampas dadah bernilai hampir RM9 juta

Utusan Sarawak 3 weeks ago
KETUA Polis Johor Datuk M Kumar (dua, kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. Polis melancarkan operasi membanteras sindiket pengedaran dadah yang membawa kepada penahanan lima lelaki termasuk warga Singapura dengan rampasan dadah seberat hampir 70 kilogram (kg) bernilai RM9 juta di empat daerah pada 20 hingga 24 April lepas. Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas dadah pelbagai jenis seberat hampir 70 kilogram bernilai hampir RM9 juta dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang warga Singapura dalam operasi di empat daerah di negeri ini, minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M.Kumar berkata suspek berusia antara 22 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan dalam operasi selama lima hari bermula 20 April, dengan tiga daripada mereka menjadikan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah manakala dua lagi melibatkan penyewaan pangsapuri.

“Operasi pada 1.30 tengah hari, 20 April menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan merampas 9.35 kilogram (kg) ekstasi dan 62 gram ketamin bernilai RM1.57 juta dari pangsapuri di Johor Bahru, disewa suspek sejak Mac lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata operasi seterusnya pada 11.30 malam, 21 April di sebuah jeti di Batu Pahat membawa kepada rampasan 20.71 kg syabu dan 13.99 gram pil Erimin 5 bernilai RM662,748 yang disimpan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger.

Menurutnya, suspek berusia 36 tahun itu menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama individu lain untuk menyimpan dadah berkenaan sebelum ia diedarkan ke negara jiran.

Kumar berkata pihaknya turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di Kota Tinggi sekitar 9.00 malam, 23 April, dengan rampasan 20 kg ekstasi bernilai RM3.34 juta yang disimpan dan diproses dalam sebuah kereta Honda Civic.

Dalam serbuan di Kluang pada 1.30 tengah hari, 23 April, pihak polis merampas 9.90 kg ekstasi, 187.30 gram ketamin dan 78.30 biji pil Erimin 5 bernilai RM1.69 juta, yang disimpan dalam sebuah kereta Proton Iswara oleh suspek berusia 33 tahun.

Seorang lelaki warga Singapura berusia 47 tahun pula ditahan dalam serbuan terakhir di sebuah pangsapuri di Danga Bay, Johor Bahru pada 10.00 malam, 23 April.

“Suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu negaranya untuk menyewa pangsapuri tersebut sejak beberapa bulan lalu. Polis merampas 10 kg serbuk ekstasi, 31.30 gram ketamin, 44 gram ganja, sembilan gram heroin, enam gram pil ekstasi dan 1.20 gram pil yaba di unit tersebut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.68 juta,” katanya.

Kumar berkata semua lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — BERNAMA

Continue Reading

Previous: Kastam Sarawak rampas dadah guna perkhidmatan kurier bernilai RM130,560
Next: Duda ditahan disyaki rakam gambar aib remaja perempuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.