KUCHING: Polis menahan tiga warga tempatan dan merampas dadah disyaki methamphetamine serta pil Erimin 5 dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini semalam dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan pertama dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di kawasan Kampung Semariang Jaya kira-kira 3.00 petang semalam.
Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan dan polis merampas 5.18 gram dadah disyaki methamphetamine bernilai kira-kira RM500.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexson berkata, dalam serbuan kedua kira-kira 2.40 pagi tadi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di hadapan sebuah hotel di Jalan Tawi Sli.
Katanya, polis merampas 11.73 gram dadah disyaki methamphetamine dan 0.85 gram pil Erimin 5, dengan nilai pasaran keseluruhan dianggarkan RM646.
“Kedua-dua suspek didapati positif amphetamine, methamphetamine dan benzodiazepine (benzo).
“Semakan rekod mendapati suspek wanita mempunyai enam rekod jenayah lampau, manakala suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Alexson berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, sambil menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada hotline JSJN di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng




