BETONG: Polis memohon kerjasama pemandu lori jenis Rigid Dumper/ tipper berjenama Hino yang menggunakan nombor pendaftaran QTM1532 untuk tampil membuat laporan polis susulan kemalangan langgar lari melibatkan dua kenderaan yang berlaku di hadapan RTC Layar betong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli dalam satu kenyataan berkata, Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong telah menerima satu laporan berkaitan kemalangan terbabit pada 19 September pada 1.03 tengah hari.
“Cawangan Trafik IPD Betong telah menerima satu laporan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan sebuah lori jenis tipper berjenama Hino di hadapan RTC Layar Betong.
“Bagaimanapun, pemandu serta pemilik kenderaan lori berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran QTM1532 masih belum tampil ke balai untuk membuat laporan,” katanya.
Zamry berkata, usaha pengesanan pemilik lori berkenaan telah dibuat, namun gagal.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi terus Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Nibul Bruen di talian 013-8002400,” katanya.