MANILA: Polis Filipina menahan 766 individu atas pelbagai kesalahan siber dari Januari hingga Julai 2026, dengan penipuan jualan dalam talian mencatatkan pelanggaran paling kerap berlaku, menurut laporan media tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.
Dalam tempoh tujuh bulan berkenaan, Polis Filipina turut menyelamatkan 149 mangsa dan memperoleh 81 sabitan kes, menurut Kumpulan Antijenayah Siber (ACG) Polis Nasional Filipina.
ACG menggesa para penggubal undang-undang untuk meminda Akta Pendaftaran Modul Identiti Pelanggan (SIM) sedia ada, dengan mengesyorkan penggunaan satu bentuk pengenalan diri sahaja, terutamanya kad pengenalan nasional, sebagai syarat pendaftaran.
Ia berkata memperkukuh pengesahan identiti adalah kunci utama untuk mencegah jenayah dalam talian dan mencadangkan agar pemilikan kad SIM dihadkan kepada maksimum lima kad bagi setiap individu, selain melarang pemindahan hak milik kad SIM tanpa dokumentasi yang sah.
Polis Nasional Filipina kini bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan untuk melaksanakan sistem pendaftaran satu ID berkenaan, menurut ACG. – Bernama-Xinhua




