BAU: Polis mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Pematuhan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bau (BSPTD) hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata operasi itu dijalankan dari 9.30 pagi hingga 11.00 pagi di Jalan Bau-Kuching dan Jalan Siniawan.
Beliau berkata, sebanyak 35 kenderaan dan 49 individu diperiksa dalam operasi yang membabitkan tiga anggota BSPTD.
Kenderaan yang diperiksa terdiri daripada 15 motosikal, lima kereta, lima kenderaan pacuan empat roda/pikap, lima lori dan lima van.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, mengubah suai sistem ekzos dan kenderaan tidak mempunyai cermin sisi,” katanya.
Mohd Haide berkata, tiada tangkapan, rampasan atau sitaan dilakukan sepanjang operasi yang berjalan lancar dalam keadaan cuaca baik.
Beliau berkata, BSPTD Bau akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas dan mengutamakan keselamatan di jalan raya.
“Ingati, telefon boleh menunggu tetapi nyawa tidak boleh diganti. Pastikan kenderaan anda mematuhi spesifikasi dan selamat digunakan di jalan raya,” katanya.
Oleh Connie Chieng




