
BAU: Polis mengeluarkan 12 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Ops Perdagangan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata operasi tersebut dijalankan dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Jalan Bau-Kuching, Jalan Bau-Lundu, Jalan Siniawan, Pekan Bau dan Pekan Siniawan.
Sebanyak 25 kenderaan dan 30 individu diperiksa sepanjang operasi tersebut. Kenderaan yang diperiksa terdiri daripada lima motosikal, tiga motokar, tujuh kenderaan pacuan empat roda dan pikap, serta 10 lori.

“Operasi ini menghasilkan 12 saman di bawah Borang PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara kesalahan yang dikesan ialah menggunakan tayar botak pada sebuah lori, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu tanpa lesen yang sah, pengubahsuaian ekzos, penggunaan tayar botak pada motokar, nombor pendaftaran yang kabur, kotor atau menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’, serta lampu brek ketiga yang tidak berfungsi pada sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Mohd Haide, tiada tangkapan, rampasan atau sitaan dilakukan sepanjang operasi tersebut.
Beliau turut berkata cuaca berada dalam keadaan baik sepanjang operasi dijalankan dan penugasan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Oleh Connie Chieng