KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kepada golongan yang memerlukan dengan mencari satu mekanisme yang sesuai.
Ketua pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini bagi memastikan, hanya golongan yang benar-benar layak sahaja sahaja yang dapat mengeluarkan caruman itu demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Ada pencarum yang mencarum KWSP secara suka rela…sebagai contoh sebelum pendemik dia ada kedai dan perniagaannya maju. Dia buat simpanan (KWSP) dan dia beli rumah, namun selepas tiga tahun semasa pandemik, pendapatan dia sudah berbeza berbanding zaman dia mencarum.
“Sekarang dia minta untuk keluarkan duit sebab sudah enam bulan tak bayar hutang rumah dan bank hendak lelong rumahnya. Jika kita tidak bantu orang seperti ini, apa yang akan terjadi?
“Rumahnya akan dilelong dan apabila dia hendak beli semula aset itu setahun atau dua tahun akan datang, saya rasa amat susah sekali. Sebab tu saya minta sangat kerajaan untuk mecari mekanisme untuk tujuan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Hamzah meminta kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera yang bergadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara, namun hanya menerima pencen RM500 sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan pada 2013.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Jabatan Warga Emas seiring Malaysia menuju ke arah negara menua, yang membolehkan golongan berkenaan menyertai tenaga kerja bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ketika ini .
“Kalau boleh kita gunakan lagi mereka sebagai tenaga kerja dan cara membayarnya, tak payah ikut gaji minima tapi menggunakan model baharu,” katanya. – Bernama