
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan membincangkan pelbagai topik berkaitan seni.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata kunjungan hormat ke pejabatnya di Putrajaya itu turut dihadiri suami Siti Nurhaliza iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, yang mewakili Yayasan Nurjiwa.
“Pelbagai topik telah dibincangkan antaranya peranan penting yang boleh dimainkan oleh Siti Nurhaliza dalam mendidik serta menjadi contoh teladan kepada para penghibur dan artis muda masa kini.
“Kami turut menyentuh kepentingan kepelbagaian dalam persembahan seni agar sentiasa relevan dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu,” kata beliau.
Tahun lepas, Siti Nurhaliza menerima Anugerah Biduan Negara 2024 semasa Majlis Anugerah Seni Negara sekali gus meletakkan beliau selaku penerima ketiga anugerah berprestij itu selepas Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.
Penyanyi nombor satu negara itu mula menceburi industri seni pada 1995 dan sepanjang penglibatannya, beliau merangkul lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah Industri Muzik (42), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25), Anugerah Planet Muzik (28) dan MTV Asia Award (empat) selain menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebanyak dua kali.
Beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara dan disenarai sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia selama 10 tahun berturut-turut selain pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005. – Bernama