
SIMANGGANG: Mahrajan Pendidikan Islam Peringkat Bahagian Sri Aman 2025 telah berjaya dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga, di sini kelmarin.
Pengelolaan kali ini melibatkan juga Sekolah Kebangsaan (SK) St Dunstan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Lingga.
Program tahunan ini merupakan salah satu platform untuk memperkasakan pendidikan Islam serta menggalakkan penyertaan aktif dalam kalangan pelajar terhadap pelbagai aktiviti yang berteraskan nilai-nilai Islam.
Di antara Objektif program ialah meningkatkan minat dan penghayatan pelajar terhadap Pendidikan Islam, mewujudkan jalinan ukhuwah antara pelajar, guru dan masyarakat setempat serta memberi peluang kepada pelajar menyerlahkan bakat dalam pelbagai bidang seperti dakwah, nasyid, khat dan sebagainya.
Antara pengisian utama sepanjang program ini ialah pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, nasyid, khat, kalam arabiy, mimbar daie, daie cilik dan kalam Jamaie.
Program ini melibatkan penyertaan dari semua sekolah menengah dan rendah di bawah Bahagian Sri Aman. Setiap sekolah menghantar wakil dalam pelbagai kategori pertandingan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan, Unit Pendidikan Islam, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman Ustaz Syaifullah Ismail.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian pelajar dan menggalakkan usaha berterusan seperti ini bagi melahirkan generasi muslim yang cemerlang.
Secara keseluruhannya, Mahrajan Pendidikan Islam Peringkat Bahagian Sri Aman 2025 telah berlangsung dengan jayanya.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar, malah turut disambut baik oleh warga pendidik dan masyarakat setempat. Diharapkan agar penganjuran seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang.
Untuk rekod, SK Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman dan SMK Sri Aman sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi sekolah rendah dan sekolah menengah.
Oleh Adi Safarman