Sekolah Lubok Antu terus PdPR, Serian dibuka semula esok

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Sekolah-sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), manakala semua sekolah di bawah seliaan PPD Serian dibuka semula seperti biasa mulai esok.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) setakat 12.00 tengah hari tadi.

“Keputusan itu turut mengambil kira laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan PPD Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai 14 September 2026 (Isnin).

“Bagaimanapun, sekolah-sekolah di bawah seliaan PPD Lubok Antu masih meneruskan PdPR berikutan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya pelaksanaan PdPR itu adalah selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016, Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini mengenai operasi sekolah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Ibu bapa atau penjaga dibenarkan untuk tidak menghantar anak di bawah jagaan masing-masing ke sekolah sekiranya terdapat kebimbangan terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu.

“Pemakluman kepada pihak sekolah perlu dibuat sekiranya ibu bapa atau penjaga mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah,” jelasnya.

JPNS turut menegaskan pihaknya sentiasa menitikberatkan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya ketika menghadapi keadaan cuaca panas atau keadaan cuaca di luar jangkaan.

Untuk rekod, keputusan operasi sekolah berikutan keadaan jerebu dibuat berdasarkan perkembangan bacaan IPU serta laporan keadaan cuaca semasa.

Oleh Masrin Affirah

POLYCC perkukuh peranan sebagai peneraju TVET

KOTA SAMARAHAN: Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara