SALAH satu persatuan yang masih wujud sejak zaman pemerintahan Brooke adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Pada tahun ini, PKMS menyambut ulang tahun ke-85. Sepanjang tempoh tersebut, PKMS menempuh pelbagai zaman pahit manis yang mematangkan pergerakan persatuan tersebut.
Penubuhan persatuan ini bermula di tengah-tengah era kebangkitan semangat nasionalisme di negara jiran. Di Indonesia pergerakan nasionalisme cukup hebat dengan kemunculan Sarekat Islam sehingga kepada PNI dibawah pimpinan Sukarno. Myanmar (Burma) pula munculnya gerakan Thakin yang memperjuangkan nasib negara mereka untuk melakukan pembaharuan. Di Tanah Melayu dan Singapura muncul pelbagai persatuan yang juga membela nasib orang Melayu dan Islam.
Perkembangan ini membawa kepada kesedaran dalam kalangan golongan menengah di Sarawak. Rakawi Yusuf, salah seorang yang ke hadapan dalam hal ini pernah menyuarakan agar orang Melayu bersatu di bawah sebuah pertubuhan yang dapat melindungi kepentingan mereka.
Beliau yang mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin persatuan di Tanah Melayu dan Singapura menjadi faktor penyumbang kepada hasrat penubuhan persatuan tersebut.
CABARAN
Namun demikian sebagai seorang yang tidak mempunyai pengaruh dalam kerajaan Brooke, usaha beliau ini dicurigai. Kerajaan Brooke ketika itu amat selesa dengan keadaan Sarawak, tidak mahu munculnya elemen-elemen yang akan menggugat kekuasaannya.
Malahan golongan atasan dalam masyarakat Melayu juga tidak dapat melihat kepentingan cadangan Rakawi Yusuf ini.
Hal ini sesuatu yang biasa berlaku apabila muncul satu persatuan yang tidak difahami dan dicurigai akan menggugat kepentingan golongan tertentu.
Walaupun halangan ini nampaknya besar tetapi semangat Rakawi Yusuf lebih besar dan beliau mendapat sokongan daripada rakan-rakannya seperti Abdul Rahman Kassim dan Johari Anang.
Dalam hal ini kumpulan yang menyokong penubuhan persatuan tersebut telah mencari jalan tengah dengan mengadakan rundingan bersama golongan atasan masyarakat Melayu Sarawak iaitu golongan perabangan.
Walaupun dalam pertemuan mereka ini terdapat sedikit ketegangan tetapi akhirnya persetujuan dicapai untuk memberi ruang kepada golongan perabangan bersama-sama dalam pergerakan tersebut.
PENUBUHAN
Persetujuan ini satu yang cukup manis dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu Sarawak ketika itu. Namun Rakawi Yusuf tidak sempat melihat terdirinya persatuan ini kerana beliau telah meninggal dunia pada usia yang agak muda.
Pemergian beliau tidak membantutkan usaha menubuhkan persatuan tersebut. Malah sebelum meninggal dunia, beliau bersama-sama dengan Abdul Rahman Kassim, Mohd Maámon Nor dan Bolhassan Matasip sempat merangka dan mengubal perlembagaan persatuan tersebut.
Akhirnya pada tanggal 10 Oktober 1939, PKMS ditubuhkan. Nama asal PKMS adalah Persatuan Melayu Sarawak, manakala penaung PKMS ini adalah Datu Patinggi Abang Abdillah.
Datu Amar Abang Sulaiman dilantik sebagai Yang Di-Pertua kepada persatuan tersebut. Pelantikan kedua-dua tokoh ini sebagai satu usaha menyantuni golongan perabangan.
MESYUARAT
Pada mesyuarat pertama PKMS yang diadakan pada 13 Januari 1940, mereka mengambil keputusan untuk melantik Datu Amar Abang Sulaiman sebagai Yang Di-Pertua, dengan Bolhassan Daud, Ali Hossen, Kawi Saed dan Abdul Rahman Kassim sebagai Naib-naib Yang Di-Pertua.
Johari Anang pula menjawat jawatan Setiausaha Agung, dibantu oleh Bolhassan Matasip. Jawatankuasa pertama ini menunjukkan bagaimana terdapatnya gandingan kepimpinan antara golongan perabangan dengan golongan menengah Melayu. Hal ini menunjukkan kesatuan antara kedua-dua golongan ini.
Dari segi objektif penubuhan PKMS ini adalah untuk menyatupadukan masyarakat Melayu demi kepentingan kemajuan mereka. Objektif kedua untuk mengalakkan dan meningkatkan ekonomi, pendidikan, budaya dan Bahasa Melayu. PKMS juga menekankan kepada pentingnya memelihara dan menjaga agama Islam. Akhir sekali objektif PKMS ini adalah untuk mewakili orang Melayu dalam perundingan dengan kerajaan.
AKTIVITI AWAL
Menerusi objektif penubuhan PKMS, menunjukkan bahawa persatuan ini sebagai pertubuhan yang percaya kepada perjuangan menerusi undang-undang.
Oleh itu pergerakkan mereka mahu berkerjasama dengan pihak kerajaan demi kemajuan orang Melayu. Atas sebab itu, mereka terlibat dalam meraikan ulang tahun ke-100 pemerintahan Raja Brooke.
Antara aktiviti yang mereka lakukan adalah mendirikan dua pintu gerbang, mengadakan gerai-gerai jualan makanan, membina sebuah kereta berhias dengan rekabentuk kapal Royalist dan memasang tanglung yang digunakan semasa perarakan.
Namun demikian, PKMS tidak lupa objektif perjuangan mereka. Oleh itu usaha telah digerakan dalam memajukan orang Melayu dalam pelbagai bidang.
Antaranya adalah perancangan membina sekolah agama. PKMS bersama-sama dengan Lembaga Amanah Masjid India telah berusaha mengumpul derma daripada orang ramai bagi tujuan tersebut.
Sebelum itu usaha telah digerakkan untuk mendirikan ibu pejabat PKMS di Jalan Rock. Semangat tinggi dalam kalangan ahli PKMS dan orang Melayu ketika itu membolehkan mereka mengumpul sejumlah wang yang besar untuk membayar balik pinjaman bank bagi mendirikan ibu pejabat itu.
Perjuangan PKMS ini juga menjurus kepada pembangunan ekonomi. Hal ini bertepatan dengan objektif mereka untuk memajukan ekonomi orang Melayu. Sebuah syarikat kerjasama telah dirancang untuk dirikan di Lebuh India.
HALANGAN
Keaktifan PKMS ini terganggu seketika apabila Jepun menyerang dan menawan Sarawak. Hal ini menyebabkan pergerakan PKMS menjadi dorman kerana pemerintahan Jepun mencurigai persatuan tersebut.
Pemerintah tentera Jepun berpendapat bahawa pergerakan PKMS sebagai satu pergerakan politik yang berbahaya. Namun demikian, PKMS tetap tenang dalam era pendudukan Jepun dan tidak ada usaha untuk bermusuh dengan pemerintahan Jepun sehingga kekalahan Jepun pada 1945.
Selepas tamatnya perang, PKMS mula kembali aktif. Persatuan tersebut mula menunjukkan sikap patriotiknya untuk memperjuangkan masa depan Sarawak apabila Sarawak diserahkan kepada pihak British.
Kemunculan PKMS sebagai sebuah pertubuhan yang membela nasib orang Melayu menunjukkan satu perkembangan baharu dalam kegiatan berpersatuan di Sarawak.
Orang Melayu mula sedar bahawa perpaduan penting dalam memacukan kemajuan mereka.
Dua peristiwa penting dalam sejarah Sarawak menyukarkan usaha ini kerana ditekan oleh pemerintah Jepun dan British. Walaupun ditekan, PKMS tetap maju ke hadapan dan terus melakukan usaha memajukan orang Melayu Sarawak sehingga ke hari ini.
Selamat ulang tahun ke-85.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).