SETIAP lapangan terbang mempunyai nama tersendiri bagi menggambarkan lokasi, sejarah atau tokoh berpengaruh di komuniti setempat. Adakalanya nama lapangan terbang ini agak panjang atau sukar untuk dibaca, malah mungkin ada nama yang serupa di tempat lain.
Oleh itu, bagi mengelakkan kekeliruan, satu piawaian diperlukan bagi menetapkan nama untuk setiap lapangan terbang untuk memudahkan segala urusan yang berkaitan seperti tempahan tiket, pengendalian bagasi atau kawalan trafik udara.
Pada 1947, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memperkenalkan secara rasmi kod tiga huruf untuk penamaan lapangan terbang yang digunakan dalam industri penerbangan komersial.
IATA ditubuhkan pada 19 April 1945 di Havana, Cuba merupakan sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyelaras dan mengawal selia aspek-aspek penting dalam industri penerbangan komersial global, termasuk piawaian keselamatan, peraturan penerbangan dan penetapan dasar untuk operasi antarabangsa.
Kod tiga huruf ini boleh dilihat pada tiket penerbangan atau tag bagasi penumpang. Tetapi mungkin bagi penumpang yang kurang arif ia sekadar huruf-huruf rawak, namun ia sebenarnya dapat membantu memudahkan untuk menyelaras identifikasi lapangan terbang dengan cara lebih mudah dan praktikal, tambahan lagi apabila banyak lokasi penerbangan yang perlu diuruskan oleh pengendali penumpang atau bagasidi lapangan terbang tersebut.
Sebelum diwujudkan sistem kod tiga huruf, lapangan terbang di Amerika Syarikat pada awalnya menggunakan kod dua huruf yang diasaskan oleh National Weather Service.
Namun, apabila semakin banyak lapangan terbang baru dibuka dan rangkaian penerbangan menjadi lebih luas, keperluan untuk menambah satu lagi huruf timbul. Pada ketika itulah IATA mengambil alih tanggungjawab untuk mencipta sistem yang lebih seragam, menggunakan kod tiga huruf untuk semua lapangan terbang di seluruh dunia.
Bagaimana kod-kod ini ditentukan? Secara umumnya, kod tiga huruf ini biasanya diambil berdasarkan nama bandar atau lokasi geografi lapangan terbang. Sebagai contoh, kod untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ialah KCH yang merujuk kepada nama bandar Kuching.
Begitu juga dengan KUL, kod untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang mengambil tiga huruf yang terdapat dalam nama bandar tersebut.
Namun, tidak semua lapangan terbang mempunyai kod huruf yang sepadan dengan nama bandar atau pekan mereka. Contoh yang menarik ialah kod MYY untuk Lapangan Terbang Miri, MZV untuk Lapangan Terbang Mulu dan BBN untuk Lapangan Terbang Bario.
Jelas hanya satu huruf yang ada dalam kod tersebut digunakan daripada nama bandar atau pekan berkenaan. Terdapat lapangan terbang yang tidak dinamakan berdasarkan nama bandar tetapi nama tokoh contohnya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) di Subang yang dinamakan sempena Sultan Selangor yang terdahulu Lapangan Terbang Sultan Mahmud (TGG) di Kuala Terengganu dinamakan sempena Sultan Terengganu.
Namun kod lapangan terbang ini merujuk kepada nama asal lapangan terbang yang mengambil nama bandar berkenaan sebelum ditukar kepada nama tokoh masing-masing iaitu Lapangan Terbang Subang dan Lapangan Terbang Kuala Terengganu.
Hal ini ditentukan mungkin disebabkan kekangan ejaan nama yang pendek atau kod sesuai telah digunakan di tempat lain terlebih dahulu selain batasan teknikal lain dalam pemilihan kod.
Selain kod IATA, lapangan terbang juga mempunyai kod lain yang dikenali sebagai kod Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). ICAO adalah badan yang menguruskan aspek teknikal penerbangan seperti kawalan trafik udara dan pengurusan penerbangan antara negara.
Berbeza dengan kod IATA, kod ICAO mempunyai empat huruf. Kod ini kebiasaannya digunakan dalam komunikasi antara juruterbang dan kawalan udara.
Sebagai contoh, kod IATA untuk Lapangan Terbang Sibu ialah SBW, tetapi kod ICAO untuk lapangan terbang yang sama ialah WBGS. Kod ICAO ini lebih terperinci dan merangkumi maklumat mengenai lokasi geografi dan negara lapangan terbang.
Huruf pertama kod ICAO merujuk rantau geografi seperti W merujuk rantau Asia Tenggara atau O untuk rantau Asia Barat. Huruf kedua pula merujuk negara berkenaan contohnya M untuk Malaysia atau E untuk Arab Saudi. Huruf ketiga dan keempat ialah kod lapangan terbang berkenaan seperti contoh GS di atas untuk Lapangan Terbang Sibu.
Penggunaan kod ini sangat penting dalam logistik penerbangan. Kod ini tidak hanya digunakan untuk mengenal pasti lapangan terbang, tetapi juga untuk menguruskan jadual penerbangan, pengendalian bagasi dan penyelarasan penerbangan antarabangsa.
Contohnya setiap bagasi yang dibawa oleh penumpang dilabel dengan kod lapangan terbang destinasi bagi memastikan bagasi boleh sampai ke lokasi yang betul atau mudah untuk pengesanan sekiranya hilang semasa perjalanan.
Dengan perkembangan teknologi dan peningkatan jumlah penumpang udara di seluruh dunia, sistem kod lapangan terbang mungkin akan mengalami penambahbaikan.
Kod IATA yang tiga huruf dan kod ICAO yang empat huruf setakat ini telah terbukti berkesan selama beberapa dekad, namun dengan pertumbuhan rangkaian penerbangan global, mungkin akan ada inovasi untuk menambah baik sistem ini kelak.
Sistem kod ini juga diharapkan dapat terus berkembang untuk menyokong lapangan terbang baharu yang mungkin dibina pada masa hadapan, terutamanya di negara-negara yang sedang membangun dengan infrastruktur lapangan terbang semakin diperluaskan.
Ke manakah destinasi anda seterusnya?
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.