DALAM kalangan generasi muda atau tepat lagi, ahli Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baru dilancarkan di Sibu Ahad lalu, perlu memahami sejarah dan perjuangan parti itu. Bagaimana kesetiaan dan pengorbanan pengasas PBB sebelum ini dan ambil iktibar perjuangan pahit manis mereka. Ini kerana anak muda dalam sayap baru itu bakal memimpin parti dan negeri ini pada masa akan datang.
Sayap Belia PBB yang baru dilancarkan itu, adalah untuk membuka peluang kepada golongan muda berumur antara 18 hingga 28 tahun menjadi ahli, langkah pembaharuan diilhamkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden PBB.
“Sebagai sayap baharu dalam PBB, semestinya banyak perkara, banyak selok-belok parti yang perlu dipelajari dan dihayati dalam memastikan perjuangan pergerakan selari dengan falsafah perjuangan PBB demi Sarawak tercinta,” kata Pengerusi pengelola majlis Pelancaran Pergerakan Belia PBB, Muhammad Nur Shafiq.
Apabila membicarakan mengenai sejarah parti PBB, wajib mengetahui nama tokoh seperti Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman yang mengasaskan Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA); Allahyarham Datuk Abang Mustapha Dato Bandar, pengasas Parti Negara Sarawak (PANAS) dan mendiang Tun Temenggong Jugah Barieng yang menjadi penggerak utama bagi Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).
Parti BARJASA ditubuhkan pada 1961, kemudian bercantum dengan parti PANAS yang ditubuhkan pada 1960, sekali gus melahirkan parti BUMIPUTERA pada 1968. Pada 1973 parti BUMIPUTERA pula bergabung dengan parti PESAKA dan ini menjadi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu iaitu parti PBB yang ada sekarang ini. Pada 30 April tahun depan, PBB mencecah usia 52 tahun. Parti BARJASA ditubuhkan oleh Tun Tuanku Bujang pada 4 Disember 1961. Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub and Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah antara yang pertama menyertai parti itu.
Tun Abdul Rahman kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak ketiga (7 Julai 1970 – 26 Mac 1981) dan menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 2 April 1981 hingga 2 April 1986. Tun Pehin Sri Abdul Taib pula adalah Ketua Menteri keempat (26 Mac 1981 – 28 Februari 2014) dan kemudian dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak (1 Mac 2014 – 2024). Apabila gabungan menjadikan parti BUMIPUTERA ditubuh, menyebabkan parti BARJASA dan PANAS dibubarkan.
Dalam tempoh setengah abad ini, perubahan demi perubahan pada pucuk pimpinan PBB. Selepas PBB ditubuhkan, Tun Jugah dilantik sebagai Presiden pertama, manakala Tun Pehin Sri Abdul Taib sebagai Timbalan Presiden dan Tun Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung. Kemudian Tun Abdul Rahman memimpin PBB sebelum diambilalih oleh Tun Abdul Taib. Secara tradisi, Presiden PBB adalah juga Ketua Menteri (sekarang dikenali sebagai Premier Sarawak).
SILIH BERGANTI
Pucuk pimpinan parti PBB kemudian disandang oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) apabila menyandang jawatan Ketua Menteri kelima (28 Februari 2014 hingga 11 Januari 2017) sebelum diambil alih oleh Abang Johari mulai 13 Januari 2017 hingga sekarang. Tok Nan meninggal dunia pada 11 Januari 2017.
Oleh itu, ahli sayap belia PBB perlu menghayati selok-belok perjuangan pemimpin yang disenaraikan di atas. Jatuh bangun, pernah mereka rasai. Mereka yang naik menaiki tangga kepemimpinan dalam parti juga pernah merasai ‘diketepikan’ buat seketika sebelum bangkit semula kerana kesabaran dan kesetiaan kepada parti berbanding kepentingan sendiri.
“Kamek sik ada berbentes sama diri, ini budayanya. Angin tiupan 1987 deras, ini sejarahnya tapi kapten steady, arwah Tun Taib steady, kamek pun sik mabuk walaupun gelombang besar, sik mabuk, sik muntah, steady di belakang arwah Tun Taib,” kata Abang Johari ketika berucap melancarkan Sayap Belia PBB di Sibu Ahad lalu.
Abang Johari dipercayai merujuk kepada peristiwa 1987, apabila tercetus episod pahit dalam sejarah politik Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib apabila bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman dikatakan mahu menggulingnya. Peristiwa itu kemudian dikenali sebagai peristiwa ‘Ming Court’, mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur – tempat berkumpulnya sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sarawak untuk menjatuhkan Abdul Taib, sekali gus memaksa beliau membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis.
BN hanya menang 28 daripada 48 kerusi DUN. Populariti BN Sarawak menurun daripada 59.17% pada 1983 kepada 55.24% pada pilihan raya 1987. Peristiwa Ming Court adalah usaha rampasan kuasa politik yang bermula pada 1983, berkembang menjadi krisis politik penuh ketika pilihan raya negeri 1987, dan berakhir selepas Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) dibubarkan pada 1991.
Bagaimanapun dalam ucapan pelancaran Sayap Belia PBB di Sibu itu, Abang Johari berkata memang lumrah pemimpin pergi dan datang, tetapi ada yang mahu cepat naik, ada yang di tengah-tengah dan ada pula yang terlalu ‘slow’.
“Jadi, nya empun keadaan mesti pandei, kalau tidak kapal belayar kalau ia bergoncang di laut, kapten tak betul, nya karam. Selalunya kelasi tok dilatih, dalam kapal dilatih, sapa jaga tali, sapa jaga sauh, sapa jaga enjin, sapa jaga kompas, sapa jadi kapten… jangan lawan kapten, baru kapal ia belayar dengan baik.
SEJARAH PAHIT 1987
“Alhamdulilah perahu bernama PBB berjalan dengan baik, walaupun ditiup angin yang kencang. Sejarah 1987 kencang, banyak lagi angin-angin yang lain tetapi tetap kapal belayar dengan begitu baik,” katanya yang bermula dalam PBB melalui pergerakan Pemuda.
Abang Johari berkata, pemimpin kanan lain dalam parti semuanya bermula melalui pergerakan Pemuda termasuk dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Naib Presiden kanan, Dato Sri Fadillah Yusof.
Oleh itu katanya, golongan dalam Sayap Belia adalah pemimpin masa depan parti.
Beliau tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon muda daripada Sayap Belia itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan syarat mempunyai kebolehan dan diterima oleh semua pihak terutama sekali pengundi.
Katanya, pada setiap pilihan raya 30 peratus calon yang diketengahkan PBB mestilah muka baharu dan muka lama yang berpengalaman hendaklah bekerjasama dengan muka baharu ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata golongan belia PBB perlu dilatih secukupnya agar dapat berinteraksi dengan baik dalam masyarakat di Sarawak yang diketahui mempunyai latar belakang majmuk.
Namun, bagi Muhammad Nur Shafiq, beliau memohon tunjuk ajar daripada semua untuk untuk Sayap Belia itu terus membaiki diri dan seterusnya komited dalam menyumbang kepada perjuangan parti.
“Dengan tertubuhnya sayap ini saya amat yakin bahawa kepemimpinan anak muda di Sarawak akan berkembang pesat dan kukuh dalam memperjuangkan naratif anak muda kita pada hari ini dan pada masa akan datang.
“Untuk itu, saya mewakili belia PBB dengan rendah hati memohon kepada semua pihak khususnya kepada YAB Premier dan barisan Majlis Kerja Tertinggi, (pergerakan) Wanita, Pemuda untuk terus menyokong kami anak-anak muda yang masih berjinak-jinak untuk bergiat aktif dalam perjuangan PBB.
“Saya juga amat yakin dan percaya bahawa dengan kesatuan dan perpaduan yang utuh, dibawah kata-kata keramat ‘Bersatu Berkorban’, dalam parti PBB, kita akan terus mendapat kepecayaan rakyat merentas usia di seluruh negeri, terutama insya-Allah dalam pilihan raya umum negeri Sarawak ke-13 yang akan datang. Siapa (calon) dan bila, hanya premier sahaja ada jawapannya,” katanya yang juga Ketua Protem Pergerakan Belia PBB Dalat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.