KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera dan tempatan untuk terbabit secara langsung dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen A.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, melalui saringan yang dikendalikan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sebelum ini, terdapat lebih 50 kontraktor Bumiputera yang telah melepasi syarat untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan projek berkenaan.
“Melalui penggubalan dasar juga, saya pasti pihak Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Jabatan Perdana Menteri mahu melihat pembabitan kontraktor Bumiputera diberikan peluang dan ruang secukupnya dalam pembinaan projek berskala besar ini.
“Peluang diberikan penting dalam memastikan kontraktor Bumiputera dan tempatan dapat menyumbang khidmat terutama berkaitan skop kerja infra yang semestinya menjadi kepakaran kontraktor tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azman berkata, PKBM juga mahu pelantikan kontraktor terpilih dijalankan secara telus dan saksama tanpa menggangu gugat perjalanan pelaksanaan projek ECRL bernilai RM44 bilion.
Pada Isnin, MRL berkata, ia telah menerima kelulusan daripada kerajaan bagi memulakan pembinaan ECRL Seksyen A tidak lama lagi.
Pelaksanaan projek itu akan membabitkan kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu dan melibatkan pembinaan enam stesen ECRL.
Kelulusan diperoleh MRL, selaku pemilik projek dan aset ECRL, menerusi surat daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 14 Mei 2020, akan merangkumi kerja persiapan dan kerja tanah seperti jajaran muktamad; lokasi stesen penumpang dan kargo serta jumlah lot tanah yang akan diambil kerajaan.- Bernama