
MEMENUHI cita rasa tontonan rakyat Malaysia yang menjadikan sajian drama sebagai pilihan utama, tiga drama bersiri terbaik menanti penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini.
Terus menghidupkan tema Hayati Ramadan Syukuri Syawal, RTM menawarkan hanya drama-drama pilihan istimewa dengan plot kisah yang menonjolkan keinsafan, pengorbanan, kasih sayang dan ketulusan hati yang sememangnya dekat di hati penonton terutamanya dalam mengimarahkan bulan penuh kesucian dan keberkatan ini.
Tiga tajuk drama bersiri yang menemui penonton iaitu Rumah Kasih Suraya, Haluan dan Menantu Dari Amsterdam, yang disiarkan hampir setiap hari menerusi saluran utama TV1, TV2 dan Okey.
Saluran TV1 mengajak penonton menyaksikan drama bersiri penuh emosi bertajuk Rumah Kasih Suraya mulai 24 Februari, setiap Sabtu hingga Khamis, 1.30 petang.
Ia mengetengahkan kisah watak utamanya iaitu Suraya Hanis, lakonan Nad Zainal yang merupakan bekas peragawati yang membuka Rumah Kasih Suraya menjelang Ramadan sebagai tanda rasa tanggungjawab dan keinsafan.

Ia memaparkan pengorbanannya untuk membantu mereka yang memerlukan, serta cabaran di sebalik kerjaya glamor yang penuh fitnah dan godaan.
Juga meyakini betapa pentingnya keimanan, ketabahan mental, dan usaha gigih untuk berjaya dalam dunia selebriti.
Pada masa sama rumah kebajikan tersebut turut dihuni oleh Primadona Zaiton, artis veteran yang sangat popular satu masa dulu dan pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik.
Selain Nad Zainal, drama arahan Waan Hafiz dan skrip hasil tulisan Zahirah Hassan ini turut menampilkan pelakon berpengalaman Fauziah Ahmad Daud, Fad Anuar, Dato Jalalauddin Hassan, Nor Albaniah, Sobri Anuar, dan Adam Shahz.
Sementara itu, TV2 membawakan drama 30 episod bertajuk Haluan mulai 1 Mac ini, setiap hari, pukul 6.00 petang dan ulangannya pukul 6.02 pagi.
Kemunculan pelakon Rusdi Ramli sebagai watak utama pastinya mengubat kerinduan peminat yang sudah lama tidak menyaksikannya beraksi dalam lakonan. Rusdi turut bergandingan dengan Joyce Harn, Dilla Ahmad, Tuah Adzmi, Arena Wan, Zain Hamid dan Deen Maidin.
Ikuti perjalanan kisah Ghaffar, seorang bekas banduan yang dipenjara kerana disyaki menyebabkan kematian 15 orang penumpang bas yang dibawanya telah terlibat dalam kemalangan. Manakala Irene seorang wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan kisah ghaffar yang terlibat dalam tragedi kemalangan lalu telah menemui bukti bahawa nahas tersebut bukan semata mata disebabkan kecuaian Ghaffar dan cuba menyelongkar kembali kisah nahas tersebut.
Terbaik di saluran Okey pula menyiarkan drama bersiri Menantu Dari Amsterdam, plot cerita cinta terhalang oleh keluarga gandingan pelakon utama Danial Dashuki dan Nadiyah Shahab, mulai 1 Mac ini, setiap hari, pukul 5.30 petang.
Turut menampilkan pelakon Normah Damanhuri, Elly Arifin, Wanns Ahmad, Nazia Mustafar, Zalif Sidek, Danie Anwa dan Khalida Balqis, drama 30 episod ini mengangkat latar cerita tentang Johanna Philouzulkifli, seorang mahasiswa tahun akhir jurusan psikologi di sebuah universiti di Amsterdam, berusia 21 tahun dan berdarah kacukan Belanda-Melayu. Ibunya telah meninggal dunia, dan kini dia tinggal bersama bapanya, Zulkifli, di Amsterdam. Konflik timbul apabila bapanya yang sedang sakit memohon agar Johanna berkahwin dengan seorang lelaki yang mampu menjaga dirinya selepas ketiadaannya.
Pastikan anda meluangkan masa menyaksikan program-program terbaik sepanjang Ramadan ini di RTM.