FFM35: ‘Tercalon pun kira sudah menang,’ kata Andy Teh, Idan Aedan

Facebook
WhatsApp
ANDY Teh dan Idan Aedan bersyukur diiktiraf dalam Top 5 FFM35 menerusi filem Abah Saya, Uncle Mike.

PETALING JAYA, 15 Oktober: Filem Abah Saya, Uncle Mike yang mengangkat kisah kasih sayang merentas budaya menerusi lapan pencalonan Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), bukan sahaja menyerlahkan kekuatan naskhah itu, malah menjadi kemenangan peribadi buat dua pelakonnya, Andy Teh dan Idan Aedan, yang berpeluang bersaing sebaris dengan pelakon berpengalaman.

Andy, atau nama sebenarnya Andy Teh Kim Huat, 40, yang tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike, menyifatkan pemilihannya dalam Top 5 sebagai pengiktirafan bermakna selepas bertahun-tahun menyertai FFM.

“Sangat bersyukur dapat dicalonkan dalam Top 5, sebab dah bertahun-tahun menyertai FFM tetapi ini kali pertama saya dicalonkan.

“Untuk saya dapat sebaris dengan mereka, itu dah kira satu kemenangan buat saya. Kalau dapat trofi tentulah lebih gembira, tetapi kalau tak dapat pun saya sangat bersyukur,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM35 di sini baru-baru ini.

Selain Andy, kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik turut menampilkan Wan Hanafi Su menerusi Badak, Aedy Ashraf (Tarung: Unforgiven), Kuben Mahadevan (Macai) dan Sky Iskandar (The Furious: Pertaruhan Maruah).

Andy berkata beliau menerima tawaran melakonkan watak Uncle Mike sebagai peluang mencabar diri untuk menampilkan sisi lakonan berbeza daripada watak antagonis dan aksi yang sering dibawakannya.

“Saya harap melalui pencalonan Top 5 ini, orang dapat nampak Andy bukan sekadar membawa watak antagonis ataupun berlawan, tetapi boleh juga membawa watak seperti ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Astro Shaw, penerbit dan penulis skrip atas kepercayaan yang diberikan.

Sementara itu, Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 22, yang tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Rafei, menyifatkan pencalonan tersebut sebagai antara pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

“Saya agak terkejut kerana terpilih ke peringkat Top 5. Saya memang tak ada sasaran nak menang. Berada di sebelah mereka pun saya dah kira menang untuk diri sendiri kerana mereka semua hebat.

“Untuk anugerah, saya memang tak letak harapan atau sasaran, tetapi bila dicalonkan saya bersyukur dan rasa diiktiraf oleh industri filem tempatan,” katanya.

Pencalonan itu merupakan yang kedua buat Idan di FFM selepas  bersaing dalam kategori Pelakon Lelaki Harapan pada FFM32 menerusi filem Anak Rimau The Movie.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik FFM35 turut menyaksikan persaingan Datuk Eman Manan menerusi 3 Hajat, Shaheizy Sam (Badak), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).

Dalam perkembangan lain, Idan menyifatkan peluang bergandingan dengan pelakon Indonesia Dian Sastrowardoyo menerusi The Fox King (Semusim Lara) sebagai impian yang menjadi kenyataan, selain memberinya peluang menimba pengalaman dan mendapatkan bimbingan dalam kerjaya lakonan.

“Dia sangat merendah diri dan terbuka untuk bekerjasama, malah ketika di set dia akan bertanya pendapat kami tentang bagaimana sesuatu babak hendak dilakukan,” katanya.

Selain pencalonan Andy dan Idan, Abah Saya, Uncle Mike turut tercalon bagi Filem Terbaik (Astro Shaw Sdn Bhd), Pengarah Harapan (Ezrie Gazali), Pelakon Kanak-kanak Terbaik (Umar Shakur), Pelakon Lelaki Harapan (Merah Muhaimin), Lakon Layar Terbaik (Muzzamer Rahman, Nik Naemah dan Catalina Mae Hubbard) serta Sinematografi Terbaik (Idham Md Din).- Bernama