
KUALA LUMPUR: Pelantikan pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao sebagai ketua pasukan bagi mengetuai cabaran negara pada kejohanan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei mendapat sokongan daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia Kenneth Jonassen.
Jurulatih dari Denmark itu menyifatkan langkah mengejut berkenaan sebagai satu ‘pilihan bijak’ yang mencerminkan kematangan serta kewibawaan pemain berusia 25 tahun itu di dalam dan di luar gelanggang.
“Beliau seorang yang berpengalaman dan bertanggungjawab. Ini memang lazim, apabila anda sedikit lebih senior berbanding rakan sepasukan yang lain. Saya fikir ia satu pilihan yang bijak,” katanya dalam video yang dimuat naik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Facebook.
Di Xiamen, pemain nombor 26 dunia itu akan memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan bersama pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan.
Walaupun mengakui tekanan beraksi di pentas dunia boleh menjadi satu cabaran besar, Jonassen turut memberikan nasihat berguna kepada pemain muda dan kurang berpengalaman dalam pasukan.
Jonassen menggesa mereka agar menghargai peluang berkenaan, yakin dengan kebolehan sendiri dan mengambil kesempatan untuk belajar daripada pemain-pemain senior dalam pasukan.
“Pertama sekali, percaya pada diri sendiri. Anda dipilih menyertai pasukan ini kerana anda layak berada di sini. Ini adalah satu langkah semula jadi dalam proses perkembangan anda,” katanya.
Pasukan Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain-pemain senior dan berpengalaman seperti pasangan nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki); Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pearly bersama M. Thinaah (beregu wanita).
Pemain lain yang turut disenaraikan ialah Justin Hoh (perseorangan lelaki); K. Letshanaa (perseorangan wanita); Go Pei Kee-Carmen Ting (beregu wanita); serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).
Malaysia diundi dalam Kumpulan C dan akan membuka kempen menentang Perancis (28 April), diikuti Australia (29 April) dan pilihan ketiga kejohanan, Jepun (1 Mei).
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Sudirman adalah mara ke peringkat separuh akhir sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023. – Bernama