STATUS temasya bola sepak tertua di negeri Sarawak, Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan, Piala Pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah 2020 Edisi Ke-54 masih belum ada kesahihan untuk penganjurannya.
Bagaimanapun, sebelum ini telah berlangsung mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa bagi membincang secara terperinci mengenainya penganjurannya pada tahun ini,
Pengerusi Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB), Jalek@Lapok Jafar memberitahu, pihaknya turut bergantung dengan situasi semasa masalah penularan virus Covid-19.
“Kita belum dapat memberi keputusan berhubung perkara itu. Ini kerana segalanya bergantung kepada situasi semasa selain tempoh PKP,” ujar Jalek ketika mengulas perkara itu.
Jalek turut mengakui pihaknya tidak keberatan untuk menangguh kejohanan itu sekiranya keadaan tidak mengizinkan.
Beliau turut menyifatkan pendekatan yang bakal dilakukan itu bagi mengelak pemain terlibat dari pasukan bertanding terdedah kepada musibah disebalik penularan virus Covid-19 ketika ini.
Apa pun tambah Jalek, pihaknya juga berharap masalah yang menimbulkan ketakutan di kalangan umum itu dapat lenyap secepat mungkin sekali gus memudahkan kembali penganjuran semua aktiviti seperti sedia kala.
Kejohanan terbabit yang dianjurkan KBSB dan dilangsungkan di padang bola sepak Kampung Sambir, Asajaya bermula pada hari ketiga (Hari Raya Aidilfitri) setiap tahun.