PUTRAJAYA: Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu akan diperkenalkan tahun hadapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya pendekatan membasmi kemiskinan lebih bersasar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Menangani masalah kemiskinan dengan lebih berkesan adalah salah satu agenda utama dalam RMK-12,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) -Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membasmi kemiskinan dan menangani kelemahan dalam normal baharu di sini hari ini.
Pada Julai lepas, Malaysia menyemak semula had PGK kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 yang telah diguna pakai sejak 2005.
Mustapa berkata PGK pada RM2,208 pada masa ini adalah mengikut negeri, bandar dan luar bandar, namun pendekatan bersasar dan lebih fokus diperlukan supaya masalah kemiskinan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Yang penting kita lebih berfokus, umpamanya (sekarang) kita ada B1, B2, B3 dan B4. Dulu B40 satu kategori, sekarang kita ada empat komponen,” katanya.
Beliau berkata kerajaan kini dalam proses sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan bagi mengkaji PGK. – Bernama