SIBU: Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petros mula merintis kejayaan melalui pengeluaran minyak pertamanya di Marudi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam penguasaan industri minyak dan gas oleh anak Sarawak sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa Petros telah memulakan pengeluaran minyak pertamanya sebanyak 800 tong sehari di medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi pada awal minggu ini.

“Dengan pengeluaran baharu yang bersejarah ini, bersamaan 24,000 tong sebulan, selepas lebih 50 tahun sejak pengeluaran minyak daratan terakhir, Sarawak kini berada di landasan yang tepat untuk mengembangkan industri hiliran, khususnya dalam pengeluaran ammonia dan hidrogen biru.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan kejuruteraan anak-anak Sarawak yang mampu berdiri setanding di peringkat antarabangsa, sekali gus mengesahkan bahawa Sarawak mempunyai kemampuan untuk muncul sebagai pemain utama dalam industri minyak dan gas, termasuk pembangunan produk hiliran berasaskan gas metana.
“Inilah yang besar kepada Sarawak dalam kita merayakan Hari Sarawak pada tahun ini. Sekarang Sarawak adalah pemain yang besar dalam industri minyak dan gas yang diusahakan anak Sarawak sendiri,” katanya.
Abang Johari mengumumkan demikian ketika berucap pada Perhimpunan Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini malam ini.
Beliau berkata pengeluaran awal sebanyak 800 tong sehari atau kira-kira 24,000 tong sebulan itu membuktikan Petros kini berjaya melangkah sebagai pemain industri minyak dan gas yang berkeupayaan meneroka serta mengurus sumber tenaga negeri sendiri.
“Itu hanya pengeluaran daripada satu telaga,” jelas beliau.
Abang Johari menyifatkan kejayaan Petros setakat ini mencerminkan hasil pelaksanaan dasar jangka panjang kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada penguasaan sumber strategik negeri serta pembangunan industri hiliran bernilai tinggi.
Katanya, selepas lebih lima dekad sejak pengeluaran minyak daratan terakhir, kejayaan itu dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan rantaian nilai baharu berasaskan ammonia dan hidrogen biru
Perkembangan itu turut memperlihatkan perubahan pendekatan kerajaan Sarawak dalam mengurus sumber asli, daripada hanya mengeksport bahan mentah kepada menghasilkan nilai tambah melalui pembangunan industri hiliran, penyelidikan dan teknologi yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
Tambahnya lagi, transformasi tersebut selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menjadi asas kepada usaha membina ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan industri bernilai tinggi.
Hasil pelaksanaan strategi itu turut menyaksikan Sarawak diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia selama empat tahun berturut-turut.
Pada masa sama, Premier Sarawak menekankan bahawa pembangunan sektor minyak dan gas akan diperkukuhkan melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), yang bakal membangunkan keseluruhan rantaian nilai gas asli termasuk industri petrokimia, metanol, ammonia, hidrogen dan pelbagai industri hiliran bernilai tinggi.
Beliau yakin penguasaan sumber tenaga oleh anak Sarawak serta pembangunan industri bernilai tinggi akan terus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai peneraju ekonomi hijau dan hab tenaga bersih serantau, sekali gus meningkatkan sumbangan Sarawak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.





