KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui subsidiarinya, Petronas LNG Ltd (PLL), baru-baru ini berjaya menyelesaikan penghantaran gas asli cecair (LNG) ke Yangon, Myanmar, melalui dua kargo LNG yang dihantar pada Mei dan Jun 2020.
Penghantaran dua kargo LNG ini adalah sebahagian daripada perjanjian penjualan serta pembelian induk membabitkan PLL dan CNTIC VPower yang ditandatangani pada awal 2020.
CNTIC VPower merupakan sebuah syarikat usaha sama yang diperbadankan di antara China National Technical Import and Export Corporation (CNTIC) dan VPower Group International Holdings Ltd (VPower Group).
Ketua Pegawai Eksekutif PLL, Abdul Aziz Othman berkata, penghantaran dua kargo LNG kepada CNTIC VPower ini, menandakan satu era baharu dalam pertumbuhan permintaan LNG di rantau Asia Tenggara.
“Dengan Myanmar menjadi negara terbaharu yang mengguna pakai LNG sebagai satu bentuk tenaga yang bersih, Petronas berharap ianya kekal menjadi rakan kongsi dan pembekal jangka panjang, dengan kebolehpercayaan kami yang bertaraf dunia termasuk penyelesaian inovatif dan berteraskan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, kargo LNG itu telah dijual secara ‘free on board’, ia membabitkan sebanyak 190,000 meter padu LNG.
Kedua-dua kargo LNG itu telah dimuatkan di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak dan dihantar pada 7 Mei 2020 dengan kapal CNTIC VPower Global, manakala pada 3 Jun 2020, ia dihantar dengan kapal tangki Golar Kelvin.
Sebagai tambahan kepada dua kargo LNG yang pertama, Petronas juga sedang bekerjasama dengan CNTIC VPower untuk penghantaran lanjut yang akan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua syarikat, ini akan memudahkan pertumbuhan mereka dalam industri gas yang berkembang pesat di Myanmar. – Bernama