FAIZAL BUJANG
SKUAD Petinju Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak diberi perlepasan untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai bersama keluarga masing-masing.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo memberitahu, pihaknya percaya para petinju pasti mahu menyambut kedua-dua perayaan itu bersama ahli keluarga tersayang.
Oleh yang demikian katanya, pihaknya bersetuju memberi cuti untuk tempoh beberapa hari kepada petinju berkenaan.
“Mereka akan pulang dalam tempoh terdekat ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak bersama keluarga tersayang,” jelasnya.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lalu, barisan petinju menginap bersama penolong jurulatih, Wilbur Buag Andogan di Bandaraya Kuching.
Untuk rekod skuad tinju pada temasya SUKMA Perak 2018 berjaya meraih tiga pingat iaitu satu emas dan dua gangsa.
Pingat emas disumbangkan oleh Dealoniel Mcdelon Bong (60kg). Manakala, dua pingat gangsa masing-masing diperolehi oleh Christyuden Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Sumbang (56kg).
Sementara itu, badan induk berkenaan (SABA) sudah memuktamadkan senarai penuh petinju yang akan mewakili Sarawak pada Sukma XX Johor 2020 yang akan berlangsung dari 6 hingga 14 Mac 2021.
Tiga petinju yang juga penyumbang pingat pada temasya lalu turut termasuk dalam senarai berkenaan.
Enam lagi pentinju ialah Jackson Chambai Anak Ikeh (49kg), Muhammad Syawal Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Hendry (91kg).