DATU Majang menyerahkan hadiah kepada pasukan yang berjaya muncul sebagai juara pada Kejohanan Petanque Piala Datu Majang 2022 di Rumah Endawie Maga.
KEJOHANAN Petanque Piala Datu Majang 2022 selama dua hari di Rumah Endawie Maga, Jalan Bintulu-Miri di sini mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima jumlah penyertaan yang ramai.
Datu Majang selaku Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, bilangan peserta yang ramai iaitu sebanyak 34 pasukan berentap dalam kejohanan tersebut jelas menunjukkan sukan petanque telah mendapat sambutan baik dan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurutnya, sukan itu tidak terhad kepada usia, kedudukan atau kaum tertentu, malahan ia melibatkan pelbagai kaum terdiri daripada kalangan penduduk kampung dan rumah panjang, kakitangan daripada pihak agensi kerajaan dan swasta.
“Memandangkan, populariti sukan petanque yang kian meningkat dan dilihat mampu menarik minat segenap lapisan masyarakat, maka saya yakin sukan ini akan menjadi platform yang baik ke arah mengeratkan jalinan silaturrahim, meningkatkan semangat perpaduan dan harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk dan berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penangguhan pertandingan tersebut di Rumah Endawie di Bintulu semalam.
Tambahnya, sukan petanque juga mampu membantu dari segi kesihatan fizikal dan mental di di samping bertujuan mencungkil bakat serta melahirkan pemain baharu khasnya para belia dan generasi muda sekali gus
membolehkan mereka terus maju dan berpeluang menyertai pertandingan di peringkat lebih besar pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Majang turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Benchmark Health Management kerana telah memberi perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma kepada penduduk kampung dan rumah panjang serta para peserta dan tetamu yang turut berkunjung ke acara itu.
“Saya percaya masyarakat di sini menyambut baik perkidmatan yang disediakan oleh pihak Benchmark Health Management.
“Ia amat membantu dan saya berharap agar pihak Benchmark Health Management dan Solution Sendirian Berhad dapat mengembangkan perkhidmatan saringan kesihatan ke kampung dan rumah panjang seperti kawasan luar bandar dan pedalaman,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH