KUCHING: Petani kecil di Sarawak kini mampu membeli kereta secara tunai, satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan peningkatan taraf ekonomi golongan tersebut hasil penglibatan dalam sektor komoditi seperti kelapa sawit dan getah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil pengkomersialan tanaman seperti kelapa sawit, ramai petani kecil, termasuk pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), berjaya meningkatkan pendapatan mereka sehingga mampu menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Pernah saya lihat seorang pemilik ladang kecil membeli kenderaan utiliti sukan (SUV) secara tunai. Ini bukti bahawa sektor pertanian kini bukan lagi sekadar kegiatan sara diri, tetapi menjadi sumber pendapatan yang lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 Jabatan Pertanian Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Abang Johari menjelaskan, kerajaan negeri akan memperkenalkan kaedah moden dan teknologi baharu dalam sektor pertanian untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Antaranya termasuk pengenalan benih padi cepat matang yang boleh dituai dalam tempoh tiga bulan, dengan potensi menghasilkan sehingga lapan tan sehektar setiap musim.
“Kami telah mengenal pasti 6,000 hektar tanah untuk ditanam dengan kaedah ini di kawasan selatan negeri ini selain di Limbang dan Lawas. Jika berjaya, hasil pengeluaran beras negeri boleh mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyentuh kejayaan Sarawak dalam pembangunan industri kelapa sawit dan getah sebagai komoditi utama yang memberi manfaat besar kepada pekebun kecil.
Katanya, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM1.7 bilion untuk projek pembangunan pertanian, termasuk RM750 juta untuk Jabatan Pertanian.
Peruntukan ini akan digunakan bagi membina sistem pengairan serta melatih petani menggunakan teknologi moden.
“Sarawak akan terus berusaha membangunkan sektor pertanian sebagai perusahaan ekonomi yang berdaya saing dan berorientasikan eksport. Ini penting untuk memastikan pertanian mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyentuh cabaran perubahan iklim yang memberi kesan kepada pengeluaran makanan global.
Menyedari risiko ini, katanya, Sarawak kini sedang menggiatkan usaha menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen untuk mengurangkan jejak karbon.
“Pertanian moden adalah masa depan Sarawak, dan kita mahu menjadi negeri pertama yang mengintegrasikan teknologi tinggi dan kelestarian dalam sektor ini,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya penggunaan teknologi moden dan pendidikan dalam sektor pertanian untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi luar bandar.
“Ilmu adalah kunci untuk meningkatkan hasil dan pendapatan petani,” tambahnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT