BEKENU: Sarawak melakukan banyak transformasi dalam tiga bidang pertanian iaitu tanaman, penternakan dan perikanan untuk mencapai sasaran negeri pengeluar makanan yang banyak menjelang tahun 2030.
Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata demikian ketika ditemui di majlis lawatan kerja ke Ladang Kerbau Kampung Kayu Kapur di sini semalam.
Katanya, ketika ini pelbagai usaha Kerajaan Sarawak meningkatkan jumlah penternakan kerbau bagi pasaran tempatan dan antarabangsa antaranya mengadakan kerjasama dengan sektor swasta.
“Sasaran itu bakal dicapai dengan mengalakkan para petani khususnya di bahagian utara Sarawak seperti Limbang, Lawas dan Miri (Bekenu) berkecimpung dalam penternakan komersial iaitu ternakkan kerbau.
“Pendekatan diambil ialah mengenalpasti para petani yang berminat dan menyediakan bantuan dana dan prasarana untuk mereka termasuk 24 ekor kerbau betina dan seekor kerbau jantan bagi seorang peserta untuk membantu pembiakan kerbau mencapai jumlahnya kepada 20 ribu ekor menjelang tahun 2030 berbanding hanya 6,000 ekor pada masa ini,” jelasnya.
Tambahnya, untuk mencapai hasrat ini, kerajaan turut meningkatkan prasarana di Stesen Kerbau Meragang Lawas dengan pembiakan kerbau baka baharu sekali gus dapat menghasilkan susu dan dibuat keju untuk pasaran tempatan dan global.
“Projek Ternakan Kerbau di Kampung Kayu Kapur Bekenu akan ditambah baik secara berperingkat termasuk membaiki pagar, rumah kerbau dan prasarana lain seperti pembinaan anjung tinjau dengan peruntukan sebanyak RM5 juta secara keseluruhannya bagi menjadikan kampung dan projek ini sebagai destinasi pelancongan baharu di Bekenu.
“Saya yakin ini dapat merancakkan lagi sosioekonomi penduduk dan Daerah Subis dalam pelbagai aspek termasuk pelancongan, ujarnya lagi.
Lawatan ke Projek Tanaman Kelapa Berkompok Kampung Ranchah Ranchah, beliau telah mengumumkan peruntukan RM5,000 melalui Geran Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) untuk aktiviti pertanian di sini.
Selain itu, Projek Kelapa Kampung Ranchah Ranchah telah mendapat kelulusan sebuah pusat pengumpulan hasil dan Projek Tanaman Herba Kampung Terhad juga telah dirancangkan iaitu tahun 2021 untuk pembinaan sebuah pusat pengumpulan hasil tanaman.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Hajah Rosey Yunus turut serta bersama lawatan ke empat kawasan iaitu Projek Tanaman Kelapa Berkelompok di Kampung Ranchah Ranchah, Projek Tanaman Herba di Kampung Terahad dan Projek Tanaman Cili di Tim Sea Side Resort Bekenu.
Oleh Adum Liu