SERI ISKANDAR: Petanda kemelesetan global disebabkan oleh pandemik Covid-19 kini menjadi semakin ketara, kata Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Profesor Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.
Beliau berkata, dengan data ekonomi utama di seluruh dunia terus mempamerkan prestasi yang lemah di tengah-tengah Covid-19, pakar menjangka situasi lebih buruk bakal mendatang.
“Pemulihan global semakin perlahan sekarang, dan beberapa sektor malahan telahpun tumbang. Sehingga kini, tidak ada sebarang ramalan saintifik apa yang dunia boleh harapkan. Vaksin dan ubatan masih jauh daripada jangkaan, dan ketidakpastian adalah suatu yang pasti sekarang.
“Adakah dunia masih mempunyai masa depan? Masih relevankah lagi untuk memperkatakan tentang kemampanan, malahan Matlamat Pembangunan Mampan? Bagaimanakah nanti sektor tenaga memainkan peranannya di tengah situasi ini? Adakah nanti ada normal baharu bagi sektor tenaga pada masa akan datang? Bagaimana industri tenaga dan kerajaan menangani situasi ini?” tanya beliau.
Mohamed Ibrahim berkata demikian semasa Siri Forum 2020 UTP dan Atma Jaya Catholic University of Indonesia (AJCUI) bertujuan mengumpulkan bersama-sama pemain industri, termasuk ahli akademik dan penuntut institusi pengajian tinggi bagi menyertai perkembangan semasa global dalam Amalan Global, Ekonomi Serantau dan Kemampanan di tengah situasi pandemik Covid-19.
Forum yang bertemakan ‘Navigating to the New Normal: Rethinking the Role of Energy Towards Global Sustainability’ itu diadakan menerusi persidangan video antara UTP dan Rektor AJCUI Dr Agustinus Prasetyantoko.
Forum itu juga yang merupakan manifestasi kerjasama erat antara kedua-dua universiti tersebut. Idea untuk mengadakan acara itu timbul daripada Memorandum Persefahaman (MoU) perkongsian geran padanan awal dimeterai oleh kedua-dua universiti itu pada 20 Mei.
MoU tersebut bertujuan menjalin kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua belah pihak serta bertukar-tukar kepakaran dalam pelbagai bidang dan penyeliaan bersama pelajar lepasan ijazah.
Sementara itu, Agustinus Prasetyantoko berkata siri webinar itu merupakan inisiatif bersama antara kedua-dua universiti tersebut untuk mengukuhkan perkongsian dan kerjasama.
Kerjasama itu akan diikuti dengan beberapa lagi siri aktiviti dalam penyelidikan, pengajaran dan pertukaran pelajar, katanya.
“Mengenai kerjasama antara kedua-dua universiti, ia sentiasa merupakan inisiatif baik untuk bekerjasama dengan institusi dan rakan pelajar yang memiliki kepakaran, pengalaman dan kecekapan seperti UTP.
“Kami berbangga diberi peluang untuk bekerjasama dengan universiti itu, dan berharap ia boleh diperkukuhkan lagi dan dilanjutkan bukan hanya untuk hari ini sahaja tetapi juga pada masa depan,” katanya. – Bernama