
MIRI: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, di sini, semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya memaklumkan, lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di kompleks sempadan berkenaan.
Ketibaan beliau disambut Ketua Imigresen Bahagian Miri, Heneritha Martin, bersama wakil-wakil daripada JIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Relawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan Malaysia, serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai pengoperasian kompleks oleh Ketua Imigresen Pos Kawalan Sungai Tujoh, Rosminda Pasang.
“Selepas taklimat, beliau turut mengadakan sesi perbincangan bersama wakil agensi bagi membincangkan pelbagai isu dan perkara berkaitan kelancaran operasi di pintu sempadan ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam lawatan tersebut, Mohd Aini juga berkesempatan meninjau sendiri keadaan di kaunter pemeriksaan keluar masuk serta kawasan operasi kastam bagi mendapatkan gambaran jelas tentang situasi kerja di lapangan.
“Diharapkan lawatan ini dapat mempererat jalinan kerjasama dan seterusnya meningkatkan kecekapan operasi di salah satu pintu masuk penting negara,” jelas kenyataan tersebut.
Oleh Liong Chai Ling