
SIMANGGANG: Peminat sukan sepak takraw di sekitar Bahagian Sri Aman dialu-alukan untuk menyertai sesi pemilihan pemain yang akan diadakan pada 17 dan 18 Mei ini di Mini Stadium Sri Aman.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awangku Hafizi Awang Azahari berkata, sesi pemilihan tersebut bertujuan membentuk pasukan wakil Sri Aman bagi menghadapi Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak yang dijadual berlangsung di Kota Samarahan dari 18 hingga 22 Jun akan datang.
“Untuk makluman, PESTASA akan menghantar sebanyak tiga kategori pada kejohanan itu nanti iaitu kategori terbuka, berpasukan dan belia bawah 20 tahun, setakat ini perancangan kita akan membentuk tiga pasukan untuk ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak nanti.
“Justeru, pihak kita (PESTASA) akan mencari seramai 20 pemain dari sekitar Bahagian Sri Aman bagi membentuk pasukan yang akan dikendalikan oleh ketua jurulatih, Abdul Karim Mohd Bakri serta dibantu oleh jurulatih lain,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bersama Exco PESTASA di Medan Selera Awada, malam tadi.
Sehubungan itu kata Awangku Hafizi beliau menggesa pemain berbakat dari Sri Aman, Lubok Antu, Engkilili, Lingga dan kawasan lain di Bahagian Sri Aman agar hadir pada sesi pemilihan yang ditetapkan itu, pada masa sama mengalu-alukan kehadiran ramai pemain yang berusia 20 tahun.
Katanya lagi ini adalah peluang keemasan bagi pemain berbakat dan berpotensi untuk mempamerkan bakat mereka serta berpeluang untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Diharap kita akan dapat menemui ramai pemain-pemain yang berpotensi dan berbakat pada sesi pemilihan yang akan diadakan itu nanti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Awangku Hafizi turut mengumumkan Subhi Ahmad telah dilantik sebagai Setiausaha PESTASA yang baharu.
Turut dilantik ialah pengurus pasukan Sri Aman iaitu Awangku Hafizi serta dibantu oleh Zaidil Ripin dan Alexander Frusis.
Turut hadir Timbalan Presiden PESTASA, Zaidil Ripin, Bendahari PESTASA, Iswandi Kassim dan Exco PESTASA yang lain.
Oleh Adi Safarman