Integriti sukan perlu diperkukuh menjelang Sukan SEA 2027

Facebook
WhatsApp
PENYELARAS Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Nikolas Myint berucap pada Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), hari ini.

KUCHING: Integriti dalam sukan perlu diperkukuh bagi memastikan penganjuran temasya sukan utama dilaksanakan secara adil, selamat, beretika, telus dan bertanggungjawab.

Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Nikolas Myint berkata, perkara itu penting menjelang Temasya Sukan SEA 2027 yang bakal menyaksikan upacara pembukaan dianjurkan di Sarawak.

Beliau berkata, apabila rantau Asia Tenggara datang ke Malaysia untuk bertanding, perhatian bukan hanya tertumpu kepada stadium, tetapi turut melibatkan institusi yang membolehkan temasya itu dilaksanakan.

“Ini termasuk bagaimana sumber awam diuruskan, bagaimana atlet dilindungi dan sama ada prinsip permainan adil (fair play) melangkaui padang pertandingan hingga ke institusi yang mentadbir pertandingan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir mewakili Premier Sarawak.

Menurut Nikolas, integriti sukan bukan sekadar berkaitan usaha mencegah rasuah, tetapi turut merangkumi perlindungan atlet daripada penderaan dan eksploitasi, peluang penyertaan yang selamat dan saksama serta memastikan tiada individu disisihkan berdasarkan identiti atau asal usul.

Katanya, penganjuran Sukan SEA 2027 juga membawa aliran dana awam dan swasta yang besar termasuk melalui perolehan, pembangunan infrastruktur dan peluang penajaan, sekali gus memerlukan perhatian terhadap risiko seperti sogokan, penipuan, konflik kepentingan, pengubahan wang haram, perjudian haram dan manipulasi pertandingan.

“Temasya Sukan SEA 2027 bakal menjadi satu usaha yang besar. Ia akan menjadi peluang yang luar biasa serta tanggungjawab yang besar,” katanya.

Nikolas berkata, Sarawak turut mempunyai kerjasama dengan Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam isu tadbir urus dan pencegahan rasuah, jenayah maritim serta pemerdagangan dadah.

Beliau berkata, pada tahun ini, UNODC bersama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak turut memulakan pembangunan Strategi Antirasuah Sarawak yang bertujuan memperkukuh kawalan dalaman, perolehan yang telus dan perlindungan yang berkesan.

Katanya, Sukan SEA 2027 boleh dimanfaatkan sebagai peluang untuk memperkukuh, menguji dan menambah baik sistem berkenaan, sekali gus meninggalkan legasi institusi yang lebih kukuh serta keyakinan awam yang lebih besar.

“Integriti sukan melampaui sukan itu sendiri untuk menjadi satu keperluan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, PBB melalui UNODC dan seluruh sistem PBB bersedia menyokong usaha berkaitan integriti sukan, termasuk usaha melindungi nilai sukan dan memperkukuh institusi yang berkaitan.’

Oleh Shikin Mahmud