BINTANGOR: Pesta Meradong 2026 menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung menerusi penganjuran selama 14 hari mulai 24 Ogos hingga 6 September, sekali gus membuka peluang kepada peniaga tempatan merancakkan kegiatan ekonomi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, peniaga di kawasan tersebut perlu memanfaatkan sepenuhnya kehadiran pengunjung sepanjang pesta untuk memasarkan produk masing-masing.
“Saya berharap peniaga di Meradong mengambil peluang sepenuhnya untuk menjual produk mereka kepada pengunjung semasa Pesta Meradong.
“Pada masa sama, kualiti makanan dan barangan mesti dijaga pada tahap yang tinggi bagi memelihara nama baik pesta ini,” katanya pada sidang media, bertempat di Pejabat Daerah Meradong, hari ini.
Katanya, penganjuran kali ini disasarkan lebih baik berbanding tahun sebelumnya dalam usaha meningkatkan imej Meradong dan Bintangor, selain memastikan pesta tersebut terus menjadi antara acara yang mampu menarik kedatangan pengunjung.
“Kita menyasarkan penganjuran yang lebih baik berbanding tahun lepas supaya imej Meradong dan Bintangor dapat terus ditingkatkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Koung Hiing berkata, kawasan Tebingan Sungai Bintangor bakal dinaik taraf menerusi projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Tambahnya, projek tersebut kini menunggu kelulusan akhir daripada Pihak Berkuasa Perancangan Negeri Sarawak (SPA), manakala tender dijangka dikeluarkan menjelang hujung tahun ini sebelum kerja pembinaan bermula tahun hadapan.
“Pelaksanaan projek naik taraf tersebut berkemungkinan memerlukan lokasi alternatif bagi penganjuran Pesta Meradong sepanjang tempoh kerja pembinaan.
“Semasa tempoh pembinaan tebingan sungai, kita mungkin perlu mencari tapak alternatif untuk menganjurkan Pesta Meradong.
“Bagaimanapun, apabila projek tersebut siap sepenuhnya, ia akan menyediakan tapak penganjuran yang jauh lebih baik untuk masa hadapan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Daerah Meradong, Wee Teck Min berkata, Pesta Meradong 2026 akan berlangsung selama 14 hari mulai 24 Ogos hingga 6 September dengan beberapa acara baharu diperkenalkan bagi memberikan kelainan kepada penganjuran tahun ini.
“Acara yang julung kali diperkenalkan ialah Pesta Bermukun pada 1 September, mengetengahkan elemen tradisional, manakala Persembahan Bakat Moden Cina membabitkan persembahan tarian moden oleh kumpulan dari Sibu dijadualkan pada 3 September.
“Pesta jualan pula akan beroperasi setiap hari sepanjang tempoh penganjuran dari 24 Ogos hingga 6 September, sekali gus menyediakan ruang kepada peniaga tempatan menawarkan produk mereka kepada pengunjung.
Wee berkata, majlis perasmian Pesta Meradong 2026 dijadualkan berlangsung pada malam 29 Ogos, manakala majlis penangguhan akan diadakan pada malam 5 September.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing berkata, Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 yang diadakan bersempena Pesta Meradong memasuki edisi ke-11 dengan lapan kategori penuh dipertandingkan, meningkat berbanding tujuh kategori pada tahun sebelumnya.
Katanya, penganjur turut menyasarkan penyertaan antarabangsa termasuk dari Brunei dan Singapura serta pelumba dari negara lain bagi memeriahkan perlumbaan tersebut.
“Proses pendaftaran Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 telah dibuka, manakala promosi kini giat dijalankan bagi menarik lebih ramai peserta termasuk dari luar Sarawak dan luar negara,” katanya.
Oleh Earl Anek





