MENARIK… Para pengunjung tempatan menikmati keindahan benak di Tebingan Sungai Sri Aman, petang semalam.
HANYA tinggal beberapa minggu lagi untuk Pesta Benak Sri Aman 2022 kembali membuka tirainya semenjak ditangguh selama dua tahun ekoran penularan Covid-19.
Penantian selama dua tahun ini sudah tentunya membuatkan ramai penduduk tidak sabar untuk menyaksikan kemeriahan sambutan meski pun ancaman Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya.
Seorang pesara guru, Kulok Laga, 62, ketika ditemui berkata acara regata adalah kunci utama kemeriahan sambutan Pesta Benak Sri Aman dan sentiasa dinanti-nantikan penduduk di sekitar Simanggang.
“Selain regata, acara lain seperti Ratu Pelancongan Benak, bina dadan dan pameran oleh agènsi kerajaan juga menjadikan tarikan untuk penduduk di sini termasuk di seluruh Sarawak yang datang ke bandar ini.
“Malah, penganjuran Bazar Ria yang menawar pelbagai produk menarik dan jarang didapati di Sri Aman amat menarik dalam kalangan penduduk,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar pameran berkaitan hidupan liar dapat dianjurkan pada sambutan Pesta Benak Sri Aman akan datang demi memberi kesedaran terhadap penduduk setempat mengenai pentingnya usaha memelihara hidupan itu.
“Jika boleh sambutan Pesta Benak Sri Aman akan datang dapat menganjurkan aktiviti yang baharu atau menarik daripada aktiviti-aktiviti yang lain seperti pertanian atau pameran haiwan peliharaan.
“Kakitangan Jabatan Perhilitan juga boleh mempamerkan spesies haiwan yang dilindungi, tidak boleh ditangkap atau dibunuh demi memberi kesedaran terhadap penduduk setempat yang masih mengambil remeh akan hal tersebut,” katanya.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa premis perniagaan seperti hotel dan restoran di sekitar bandar ini kini sedang membuat persiapan terakhir bagi menerima kehadiran para pengunjung bukan sahaja dari seluruh Sarawak malah berupaya menarik pelancong dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara.
“Sambutan Pesta Benak kali ini sudah pastinya akan menarik kehadiran ribuan pengunjung dengan tempat penginapan serta restoran tempatan dalam bandar ini perlu bersedia untuk menantikan ketibaan mereka.
“Oleh demikian, kebersihan premis amat perlu diutamakan bagi menjaga imej sambutan Pesta Benak Sri Aman untuk kali ini,” kata Pengarah Restoran Tandang Sari Sri Aman iaitu Abdillah Ahmad, 42.
Sementara itu, penyambut tetamu di Hotel Theatre Inn, Chrisley Manjan, 24, memberitahu pihaknya sudah pun menerima tempahan penuh daripada pengunjung semenjak empat bulan lepas bagi sepanjang tempoh sambutan kali ini.
“Dengan demikian, sebuah perancangan hendaklah di rangka terlebih dahulu bagi memastikan kemudahan yang sedia ada mencukupi dan memenuhi keperluan para pelanggan kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang bertugas sebegai guru iaitu Nurzihan, 43, menegaskan bahawa perlunya sikap waspada para pengunjung terhadap ancaman Covid-19 ketika menyaksikan temasya itu nanti.
“Adalah wajib untuk kita menjaga diri dan orang lain dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka ketika menyaksikan Pesta Benak nanti dan tidak alpa dengan menganggap Covid-19 sudah tiada.
” Lagi pun penjagaan kesihatan anak-anak kecil adalah tanggungjawab ibu bapa. Sekiranya, tempat adalah terlalu sesak atau terlalu ramai maka tidak perlulah membawa anak-anak ke lokasi itu,” katanya.
Pesta Benak 2022 kali ini akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 September depan dengan kali terakhir temasya itu diadakan pada 2019.
Oleh NOELEEN P.R.