SIMANGGANG: Pesta Benak Sri Aman berpotensi besar untuk terus memacu reputasi Sri Aman sebagai hab pelancongan dan ekonomi.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata pesta tahunan itu juga berupaya memperkukuh semangat perpaduan rakyat melalui penganjuran acara ikonik ini.
“Pesta Benak ini adalah simbol kebersamaan masyarakat Sri Aman serta platform penting untuk menjana pendapatan kepada peniaga dan usahawan tempatan.
“Keadaan seperti ini yang kita inginkan, kerana peniaga dan usahawan dapat memanfaatkan peluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui hasil tani, makanan, serta produk tempatan.
“Pesta ini bukan sahaja meningkatkan imej bandar Simanggang sebagai destinasi pelancongan utama, malah menyokong komuniti tempatan dalam meningkatkan ekonomi serta mengetengahkan produk mereka ke peringkat lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Pesta Benak Sri Aman 2024 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini hari ini.
Doris Sophia berkata Pesta Benak Sri Aman 2024 sekali lagi membuktikan keunikannya dalam mengangkat warisan budaya Sungai Batang Lupar, menjadi lambang kebanggaan masyarakat tempatan dan ikon pelancongan Sarawak.
Hadir sama isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang dan Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Oleh Noor Ikmal