
SIMANGGANG: Sungai Batang Lupar dengan arusnya yang tenang serta membelah daratan daerah ini akan kembali berkocak apabila penganjuran Pesta Benak 2025 akan diadakan pada 19 hingga 21 September tahun ini.
Menurut Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata tarikh penganjuran yang dipilih itu adalah berdasarkan faktor air sungai pasang surut dan benak di Batang Lupar serta bagi mengelakkan pertindihan dengan acara kerajaan negeri seperti Sarawak Regata.
“Penetapan tarikh lebih awal ini bertujuan memberi ruang kepada semua pihak untuk membuat persiapan rapi dari segi logistik, promosi dan pengisian acara yang lebih tersusun dan menarik.
“Saya menyeru agar semua pihak, termasuk komuniti akar umbi, terus bekerjasama menjayakan penganjuran pesta ini agar benar-benar menjadi milik rakyat serta memberi impak ekonomi jangka panjang kepada kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman Bil. 1/2025 yang berlangsung di Wisma SADA, semalam.
Mahra berkata penganjuran Pesta Benak yang bakal memasuki edisi ke-22 pada tahun ini bakal berwajah baharu menerusi pelbagai penambah baikan strategik yang dirancang bagi meningkatkan impak penganjurannya.
“Antara penambah baikan utama yang dibincangkan termasuk penyusunan semula tapak gerai secara berkluster mengikut kategori makanan halal, bukan halal, kraf tangan dan korporat serta cadangan menempatkan pentas utama di lokasi strategik yang tidak mengganggu pergerakan pengunjung.
“Isu kebersihan turut diberi perhatian, termasuk keperluan menambah tong sampah, menyediakan tandas mudah alih yang mencukupi dan menjadualkan kerja pembersihan secara lebih sistematik. Keutamaan juga akan diberikan kepada penyertaan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan.
“Dalam usaha meningkatkan promosi dan memudahkan pelawat mendapatkan maklumat, satu laman sesawang rasmi dan aplikasi mudah alih Pesta Benak akan dibangunkan. Platform digital ini akan menyediakan fungsi pendaftaran, panduan lokasi dan siaran langsung acara secara dalam talian,” jelasnya.
Menurut Mahra, pentadbiran Bahagian Sri Aman bersama jawatankuasa penganjur komited untuk mempertingkatkan tahap penganjuran pesta tersebut agar mencapai standard yang lebih tinggi.
“Pesta Benak bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan platform untuk menampilkan identiti Simanggang, membina sinergi antara masyarakat dan agensi kerajaan, serta memperkukuh daya tarikan pelancongan Bahagian Sri Aman,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang; Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani; Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Mohd Rizal Zakaria; Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safariza Bujang; Pegawai Perpaduan Bahagian Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malek dan agensi kerajaan lain.
Oleh Adi Safarman