
Sebuah pesawat Delta Airlines terbalik dan berada dalam keadaan mengiring di atas bumbungnya selepas terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Pearson Toronto, di Toronto, Ontario, Kanada. - Foto AFP
TORONTO: Sebuah pesawat Delta Air Lines yang membawa 80 orang melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Toronto, Kanada pada Isnin terbalik dan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 cedera, namun tiada kematian dilaporkan, kata pegawai.
Syarikat penerbangan itu, berkata penerbangan Endeavor Air 4819 dengan 76 penumpang dan empat kru sedang mendarat kira-kira jam 3.30 petang di bandar metropolis terbesar Kanada itu selepas berlepas dari Minneapolis di negeri Minnesota, Amerika Syarikat (AS).
Perkhidmatan paramedik memberitahu AFP, 15 cedera, termasuk tiga parah, membabitkan seorang kanak-kanak, seorang lelaki dalam lingkungan usia 60-an dan seorang wanita lingkungan 40-an.
Semua yang cedera, termasuk yang mengalami kecederaan ringan, dibawa ke hospital berdekatan, sama ada dengan ambulans atau helikopter.
Imej dramatik di stesen penyiaran tempatan dan dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai berpusu-pusu meninggalkan pesawat CRJ-900 yang terbalik, melindungi wajah mereka daripada tiupan angin.
Pasukan bomba kelihatan menyembur pesawat dengan air ketika asap berkepul dari pesawat itu.
“Toronto Pearson menyedari kemalangan itu ketika mendarat, membabitkan pesawat Delta Air Lines yang tiba dari Minneapolis. Pasukan kecemasan sedang bertindak balas. Semua penumpang dan kru disahkan selamat,” kata pihak berkuasa lapangan terbang di X.
Lapangan terbang itu menghentikan semua penerbangan selepas kejadian terbabit.
Pengguna Facebook, John Nelson, yang mendakwa dirinya penumpang dalam penerbangan itu, memuat naik video yang menunjukkan pesawat yang terhempas dan menulis: “Pesawat kami terhempas. Ia terbalik.”
“Kebanyakan orang kelihatan baik. Kami semua sedang turun,” katanya.
Delta berkata, penerbangan sambungan yang dikendalikan Endeavor ‘terbabit dalam satu insiden’ dan berjanji untuk berkongsi maklumat lanjut sebaik saja ia disahkan.
“Laporan awal menyatakan tiada kematian,” kata syarikat penerbangan itu melalui kenyataan jurucakap.
Menteri Pengangkutan Persekutuan, Anita Anand mengesahkan terdapat 80 orang dalam penerbangan itu.
“Saya mengikuti rapat kes serius di Lapangan Terbang Pearson yang membabitkan penerbangan Delta Airlines 4819 dari Minneapolis,” katanya di X.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada, berkata ia sedang mengerahkan pasukan penyiasat ke lokasi nahas.
Ini berlaku selepas tragedi pesawat di Amerika Utara, baru-baru ini, termasuk perlanggaran di ruang udara antara helikopter Tentera AS dan pesawat penumpang di Washington yang mengorbankan 67 orang serta nahas pesawat pengangkutan perubatan di Philadelphia yang menyebabkan tujuh maut. – AFP